SHAH ALAM: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 167 pertuduhan memalsukan dokumen, iaitu menggunakan sistem Frangki Digital palsu bagi mengecop duti setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mohd Farid Dakoit, 29, dari Taman Sri Pekan, Klang dan Shahrul Farid Mohamad Yusop, 33, dari Rantau Panjang, Klang, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Hakim Asmadi Hussin.
Hakim Asmadi membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM75,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes.


Beliau turut memerintahkan Mohd Farid, seorang penghantar surat, dan Shahrul Farid, seorang pembantu am, melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang selatan pada Ahad pertama setiap bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka melakukan 166 kesalahan bersama seorang lagi yang masih bebas, iaitu memalsukan satu dokumen membabitkan sejumlah RM106,000 bagi membuktikan pembayaran dilakukan kepada pihak LHDN.

Mohd Farid dan Shahrul Farid didakwa melakukan kesalahan itu di firma guaman Tetuan Desmond Chan & Co, Tingkat 27, Centro, No 8, Jalan Batu Tiga Lama antara 9 Februari lepas hingga 26 April lalu.

Kedua-dua tertuduh bekerja di firma guaman itu.
Mereka juga didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas memalsukan dokumen membabitkan jumlah RM300 di LHDN Cawangan Klang, Tingkat 1, 1st Tower, Jalan Meru pada 1 Mac lalu.

Mohd Farid dan Shahrul Farid didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K.Muthiah. - BERNAMA