Kota Kinabalu: Polis mengesahkan dua rakyat Malaysia yang diculik di Lahad Datu, November lalu, masih hidup dan usaha membebaskan mereka sedang dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata usaha membebaskan mangsa menunjukkan perkembangan positif susulan perbincangan dengan pihak berkuasa Filipina.
Setakat ini, kumpulan penculik belum mengemukakan sebarang tuntutan bagi pembebasan mereka.

Beliau mengakui polis sudah memperoleh beberapa perkembangan baru hasil perbincangan Bukit Aman dan pihak berkuasa Filipina, tetapi enggan mengulas lanjut butirannya kerana masih dalam siasatan.

“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan ialah kedua-dua mereka (mangsa) masih hidup dan belum ada sebarang permintaan wang tebusan daripada penculik,” katanya selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Dalam kejadian November lalu, lima lelaki bersenjata api dilaporkan menculik kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan di sebuah ladang, kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai bersebelahan FELDA Sahabat 15, Lahad Datu.