Dulu dihina, kini dipuja
Apabila hidup senang, ramailah yang mahu menumpang

CUKUP panjang cerita yang ingin dikongsi oleh Puan M yang mahu dipaparkan di ruangan Kongsi Rasa kali ini. Ceritanya penuh duka yang sukar dibayangkan betapa seksanya Puan M menempuh kehidupan sebelum mengecap kebahagiaan sekarang.

Seingat Puan M, dia anak yatim yang kematian ibu pada usia dua tahun dan terpaksa hidup menumpang kasih keluarga bapa saudara sejak kecil. Jangan ditanya kelibat bapanya yang entah ke mana menghilangkan diri. Malah gambaran bapa yang melekat dalam mindanya adalah insan yang dikatakan pernah membuang M di hutan, tetapi mujurlah sempat diselamatkan neneknya.
Sejak usia empat tahun lagi, layanan terhadap Puan M tidak ubah seperti kucing kurap, termasuk diberi makan sisa oleh keluarga. Pada usia enam tahun, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk mencuci basikal, motosikal, bersih halaman dan mencuci pinggang mangkuk untuk mendapatkan sesuap nasi.


Dia dihina dan dikasari keluarga sehingga berkudis, luka dan jelik pada mata orang ramai. Dia pernah dikatakan gila kerana berkelakuan aneh dan bercakap sendirian. Pernah Puan M terpaksa merangkak kerana terlalu sakit disebabkan penyeksaan keluarga, tetapi tiada yang mampu menghulurkan bantuan. Kalau ada pun sekadar meluahkan simpati.

Tiga puluh lima tahun dulu, bukan mudah untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dokumen tidak lengkap antara punca dia gagal menerima bantuan sewajarnya. Puan M melewati zaman kanak-kanak penuh sukar sehingga tercicir dalam pelajaran kerana tidak mampu membayar duit peperiksaan.

Puan M tak dapat duduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kerana tiada siapa yang sanggup melunaskan bayaran peperiksaan RM15 ketika itu. Dia sering didera guru berdiri atas kerusi kerana gagal menyediakan peralatan sekolah.

Selepas gagal menduduki peperiksaan SRP, Puan M mengambil keputusan bekerja sebagai pembantu rumah. Hasil upah kerja itu, dia mengambil peperiksaan SRP dan berjaya mendapat keputusan yang baik. Dia berjaya mendapat kerja lebih baik dengan sijil SRP. Puan M menumpang di rumah saudara yang kebetulan tinggal berdekatan dengan tempat kerjanya.
Wang gajinya digunakan untuk membantu mereka. Dalam pada itu dia terus mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian dan berjaya mendapat keputusan yang agak baik juga. Hidup Puan M bertambah baik dan akhirnya dia bertemu jodoh dan mempunyai dua anak.

Satu kesilapan yang dilakukan oleh Puan M ialah bersikap jujur kepada suaminya dengan menceritakan penderitaan hidup yang dilalui selama ini. Kekurangan itulah dijadikan modal oleh suami untuk mengungkit jika berdepan masalah keluarga.

Namun tindakan suami tidak menghalang Puan M meningkatkan lagi pendidikannya sehingga mampu menggapai segulung ijazah. Kerjaya Puan M semakin baik dan dia kini mempunyai rumah sendiri di kawasan elit di ibu kota, memiliki orang gaji dan mampu bercuti ke luar negara.

Apabila sudah hidup senang, ramailah ahli keluarga dari kampung yang mencari. Rumah Puan M ibarat rumah kebajikan, sering menerima tetamu yang ingin menumpang. Puan M menerima mereka dengan tangan terbuka.

Kak Ani tabik dengan semangat kental Puan M melalui penderitaan selama 35 tahun. Puan M bagi Kak Ani bukan calang-calang wanita. Kalaulah ramai bersikap seperti Puan M, Kak Ani percaya masalah sosial yang berlaku sekarang mungkin dapat dibendung.

Memang menjadi lumrah dunia, yang miskin dihina dan yang berada disanjung. Namun sebagai manusia yang diberikan akal, kita boleh merubah, jika berusaha dan sentiasa berdoa kepada yang Esa.

Zaman dulu, banyak kes kepincangan dalam masyarakat kurang didedahkan, mungkin pada masa itu peranan media tidak begitu menyeluruh. Selain itu masyarakat kita yang kental dengan budaya timur, tidak mungkin melakukan perkara yang boleh mengaibkan keluarga.

Inilah yang dilalui Puan M yang tetap bertahan di rumah keluarga walaupun melalui penyeksaan yang begitu kejam dan masih menghormati keluarga sehingga sekarang. Pada masa itu juga mana ada talian Nur untuk masyarakat salurkan kes penderaan.

Walaupun ada jiran yang bersimpati, mereka juga hidup susah dan tidak mampu membantu. Hanya kecekalan yang ada pada Puan M membolehkan dia berdiri di tempatnya sekarang. Kalaulah semangat itu dimiliki remaja sekarang, tidak akan berlaku kes lari dari rumah kerana tidak tahan berdepan tekanan keluarga.

Kalaulah ada ramai secekal Puan M, rasanya usaha kerajaan menangani kemiskinan sifar pasti berhasil. Biasanya golongan yang melalui detik sukar menggapai kejayaan lebih menghargai apa yang diperoleh. Mereka biasanya tidak lupa diri dan ini dapat dibuktikan dengan keikhlasan Puan M menghulurkan bantuan kepada orang kampung.

Teruskan kerja murni yang dibuat oleh Puan M sekarang kerana di sebalik kerja kebajikan itu, amat besar ganjaran yang akan diterima. Dalam Islam ada garis panduan dalam meraikan tetamu yang bertandang ke rumah. Kak Ani percaya Puan M pun tahu, layanan mesra patut diberikan kepada tetamu selama tiga hari. Selepas tempoh itu, tetamu pun mesti tahu kedudukan mereka di rumah yang ditumpangi.

Rezeki yang digunakan ke jalan baik, tak akan berkurangan. Anggaplah apa yang dihulurkan oleh Puan M itu sebagai zakat atau sedekah jariah. Kesihatan yang baik, keluarga bahagia dan harta melimpah ruah pada pandangan Kak Ani memang wajar dimiliki Puan M yang banyak menanggung sengsara dulu.