Dunia baru Leya

Dunia baru Leya

Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2012/08/03

Selesa kongsi transformasi diri dengan keluarga

PENGACARA dan penyampai Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau Leya, 30, yang mula berhijab sejak 1 Ramadan mengakui sudah lama menyimpan koleksi tudung dan tergerak hati memakainya ketika keluar membeli stok barang dapur untuk menyediakan juadah berbuka.

Biar memahami penghijrahan itu bakal mengundang perhatian ramai, Leya lebih selesa berkongsi perihal transformasi diri dengan keluarga selain menganggap tiada apa yang perlu digembar-gemburkan.

“Syukur.. bukan saya tak mahu menjawab persoalan kenapa bertudung dan sebagainya, cuma ia lebih kepada hal peribadi tetapi harap doakan hijrah ini berkekalan. Apa pun saya tidak janggal bertudung dan lebih selesa dengan penampilan begini.

“Sebelum ini, saya selalu membeli tudung, biasanya untuk mama. Baik mama mahu pun adik beradik lain, tidak nampak pun riak mereka terkejut ketika saya menyarungkan tudung ketika mahu keluar bersama awal puasa lalu,” kata anak sulung Fatimah Abu Bakar itu.

Tatkala ditemui di majlis berbuka puasa Hot FM/TV9 baru-baru ini, Leya tampak manis mengenakan jubah labuh krim yang diacu hijab rona serupa.

Aidilfitri pertama sebagai ibu tunggal

Ramah seperti biasa, ceritanya terus berlegar sambutan Ramadan kali ini yang disifatkan cukup bererti apatah lagi masanya banyak dihabiskan bersama dua permata hati, Aza Ameena dan Asha Ameena serta keluarga.

Bagi Leya, suasana bersahur serta berbuka puasa bersama insan dikasihi agak berbeza pada hari biasa hingga seboleh-bolehnya dia akan segera pulang ke rumah supaya dapat bersama-sama menyediakan juadah.

“Banyak kerja yang dapat saya sudahkan sebelum tibanya puasa, jadi tugasan rutin hanyalah di konti. Memandangkan antara kami (adik-beradik) memang suka memasak, kami lebih senang menyediakan juadah berbuka sendiri berbanding membeli.

“Seronok melihat gelagat masing-masing yang mahu membuktikan kehebatan tetapi masih tidak dapat melawan air tangan mama yang pandai menyediakan nasi ulam, resipi yang diturunkan nenek dengan hampir 15 jenis ulam-ulaman... Memang sedap,” katanya yang pakar memasak ayam kicap.

Adik beradik kecoh di dapur

Cerita Leya lagi, kadangkala dapur kediaman keluarga jadi kecoh apabila kelima-lima adik beradik berhimpun. Namun, kebiasaannya dia menjadi mangsa kutukan kerana masih suka bermanja dengan ibu mereka.

“Sebenarnya, saya sering diejek adik-adik kerana mama kadang-kala masih memanggil saya baby. Geli hati pun ada sebab kita yang sudah berpangkat emak ni pun tetap dimanja-manja begitu.

“Apatah lagi kalau mama sibuk bertanyakan juadah yang saya mahu makan ketika berbuka. Riuh satu rumah dengan sorakan mereka. Tetapi momen itulah yang membuatkan hubungan kami menyeronokkan,” katanya sambil tertawa.

Ditanya persiapan Syawal berikutan statusnya yang pertama kali meraikannya sebagai ibu tunggal, luahnya persediaan lebih kepada anak-anak malah mereka bakal berhari raya bersama bapa mereka di Perak.

“Hubungan saya dan bekas suami tetap baik. Anak-anak juga akan bersamanya meraikan Aiduilfitri nanti dan saya pula mungkin perlu bekerja pada hari raya kedua,” katanya.