KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil dan mengambil keterangan editor dan wartawan portal berita Malaysian Insider berhubung artikel disiarkannya mendakwa Timbalan Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Hussin, membuat kenyataan berbaur perkauman dalam satu program Puteri Umno di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata sehingga kini pihaknya menerima dua laporan polis dibuat sendiri Hamim dan Ketua Puteri Umno selaku penganjur program berkenaan.
“Dalam laporan dibuat itu, kedua-dua pihak menafikan laporan portal berkenaan dan menganggap wartawannya menyalah tafsir ucapan Hamim sehingga boleh menyinggung perasaan bukan Melayu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.


Minggu lalu, portal itu melaporkan, Hamim dalam perjumpaan tertutup dengan Puteri UMNO menggelar kaum Cina dan India sebagai “Si Mata Sepet” dan “Si Kaki Botol” ketika meminta mereka menghampiri bukan Melayu bagi mendapatkan undi.
Muhammad Sabtu berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.

“Kita juga akan memanggil beberapa individu lain, termasuk Puteri Umno yang turut berada dalam program berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Hamim membuat laporan polis terhadap portal berita itu kerana didakwa menyalah tafsir kenyataannya.