Eksport komoditi cecah RM242.6 bilion 2020 Bernard Dompok (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta pada majlis penganugerahan sijil IMPAC dan penyerahan insentif komoditi di Kota Kinabalu, semalam.
Pelbagai strategi dirangka kekalkan peningkatan pendapatan

Nilai eksport produk berasaskan komoditi negara dijangka meningkat kepada RM242.6 bilion menjelang 2020, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.
Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan peningkatan pendapatan dari sektor komoditi yang konsisten, sekali gus menjadi salah satu tonggak utama ekonomi negara.

Sasaran negara itu adalah selaras dengan Dasar Komoditi Negara (DKN) yang diperkenalkan oleh kerajaan khusus untuk memajukan sektor komoditi". - Bernard Dompok, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Tahun lalu saja, katanya eksport produk komoditi mencatat nilai RM141.2 bilion, meningkat 23.7 peratus berbanding RM114.2 bilion pada 2010.

“Sasaran negara itu adalah selaras dengan Dasar Komoditi Negara (DKN) yang diperkenalkan oleh kerajaan khusus untuk memajukan sektor komoditi,” katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan sijil Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Bilangan 2 di Kota Kinabalu, semalam.

Transformasi komoditi

Dompok berkata, dasar berkenaan juga menyasarkan transformasi sektor komoditi negara kepada satu sektor yang lebih dinamik dan kompetitif menjelang 2020.
Bagi mencapai sasaran itu, katanya, pelbagai strategi telah dirangka termasuk menjana pendapatan melalui pengeluaran produk nilai tambah berasaskan komoditi.

Dalam hubungan itu, beliau berkata satu daripada teras DKN ialah membangun dan memperkasa pembangunan modal insan.

Latih rakyat tempatan

Sebab itu, katanya IMPAC ditubuhkan bagi melatih rakyat tempatan dalam pelbagai bidang khususnya yang berkaitan aktiviti perladangan, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dalam sektor itu.

Dompok berkata ini termasuk kursus kemahiran penuaian sawit, asas teknologi penanaman koko, teknologi pengeluaran lada, keusahawanan coklat dan pembuatan perabot.

Selain latihan untuk tenaga kerja sektor perladangan, beliau berkata IMPAC turut menyediakan kursus bagi individu yang berminat menceburi diri untuk mengusahakan tanaman komoditi atau produk berasaskan tanaman komoditi. - BERNAMA