Selepas demam Euro 2012 berakhir, rakyat Pahang menumpukan perhatian kepada temasya sukan terbesar kebangsaan, Sukan Malaysia (SUKMA) yang membuka tirai kelmarin sehingga 16 Julai ini.

SUKMA Ke-15 ini membawa tema ‘Sukan Menjana Perpaduan’ bagi mengajak bukan saja atlit untuk bertanding secara sihat tetapi juga menjadikan sukan medium mengukuhkan hubungan erat masyarakat majmuk di negara ini.
Antara tujuan temasya SUKMA dwitahunan itu ialah mencungkil bakat baru yang berpotensi diketengahkan untuk menggalas cabaran negara ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.


Mungkin, pencarian bakat itu dapat mempertemukan atlit yang boleh menggantikan wira sukan sedia ada seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, bekas jaguh lumba basikal, Rosman Alwi atau pemain bola sepak yang beraksi di liga luar negara seperti Shafee Sali di kelab Pelita Jaya, Indonesia dan Nazmi Faiz Mansor kelab SC Beira-Mar, Portugal.

Kos penganjuran temasya sukan itu ialah RM238 juta, termasuk membina beberapa kemudahan sukan baru dengan kelengkapan prasarana moden.

Berbekalkan faktor berkenaan, tidak ada sebab kerajaan negeri dan Majlis Sukan Pahang (MSP) gagal mengeluarkan atlit berbakat tempatan, terutama yang memenangi pingat emas.

Amat wajar kerajaan negeri dan MSP menyediakan pelan tindakan khas yang holistik bagi memastikan bakat atlit tempatan digilap dengan baik sehingga berupaya menyarung jersi kebangsaan dan beraksi cemerlang di peringkat antarabangsa.
Pelan tindakan konkrit jangka sederhana dan panjang penting supaya Pahang dapat menghasilkan atlit berkualiti dalam beberapa sukan seperti angkat berat, silat olahraga, badminton dan bola sepak yang dapat menjadi pelapis kepada jaguh negara.

Atlit kelahiran Pahang yang mengharumkan nama Malaysia ialah Amirul Hamizan Ibrahim selepas meraih tiga pingat emas dalam Sukan Komanwel di Manchester pada 2002, diikuti Mohd Faizal Baharom yang turut memenangi emas pada kejohanan sama di Melbourne 2006.

Begitu juga pesilat negara, Suzy Mohd Sulaiman yang menghadiahkan emas pertama negara pada Kejuaraan Silat Sedunia Ke-13 di Stadium Tertutup Sukan Pahang pada 2007.

Venue SUKMA itu juga sebenarnya menjadi gelanggang kepada atlit muda mencipta pelbagai kejutan dalam acara yang dipertandingkan termasuk memadam rekod kejohanan terdahulu atau mencipta rekod baru kebangsaan.

Seperti kejohanan lain termasuk peringkat antarabangsa, kelengkapan di venue penting dititikberatkan bagi membantu atlit mencatat keputusan terbaik seterusnya menjadi ukuran sejauh mana tahap prestasi mereka serta mutu latihan yang dilaksanakan.

Persoalan lain yang turut kedengaran ialah sama ada kemudahan venue SUKMA itu akan dimanfaatkan sepenuhnya apabila temasya sukan terbesar di negeri itu berakhir.

Selepas ratusan jutaan ringgit dilaburkan bagi memastikan kemudahan itu siap dan selesa, tumpuan kini terarah sama ada istilah projek gajah putih akan menghantui venue sukan yang dinaik taraf atau dibina di sini.

Justeru, tidak mahu kemudahan itu dibiarkan sepi, Pahang perlu melakukan perancangan jangka panjang bagi mengelak kemudahan itu terbiar kosong tanpa berpenghuni.

Tidak hairanlah apabila Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu kerajaan negeri segera mencari mekanisme bagi memastikan venue SUKMA yang dibina dimanfaatkan secara berterusan.