Mohd Emir Firdaus Hasan dan Mohd Zaqhwan Zaidi masing-masing beraksi cemerlang membantu pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia mempertahankan mahkota Kejuaraan 4-Hour di Litar Suzuka, Jepun semalam.

Pada perlumbaan itu, Emir dan Zaqhwan menamatkan 100 pusingan dengan catatan keseluruhan, 4 jam 1 minit 33.002 saat untuk mengulangi kejayaan sulung tahun lalu, juga menerusi Emir Firdaus yang bergandingan dengan Azlan Shah Kamaruzaman.
Walaupun Zaqhwan bermula kurang baik selepas jatuh ke kedudukan 13 namun ketika memasuki pusingan ketujuh, pelumba muda negara itu kembali bangkit untuk berada di tempat kedua, di belakang Taiki Sato (Link Well Racing).


Nasib menyebelahi Zaqhwan apabila Sato terjatuh di pusingan ke-77 dan Emir yang menggantikan rakannya itu terus memecut laju meninggalkan pesaing lain untuk memastikan kemenangan kepada pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia.

“Cukup gembira dengan kemenangan kedua kali ini. Terima kasih kepada Boon Siew Honda Racing Malaysia kerana memberikan peluang ini kepada saya. Saingan cukup sengit dan kami sasar untuk berada di kelompok lima terbaik namun nasib menyebelahi kami,” kata Emir.

Manakala Zaqhwan yang turut beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) menyifatkan kemenangan ini sebagai satu pembakar semangat untuknya mengharungi pusingan ke-3 ARRC di Litar Antarabangsa Zhuhai minggu depan.

“Masih banyak yang perlu saya belajar. Tetapi kemenangan ini menjadi suntikan semangat kepada saya untuk beraksi lebih baik dalam Kejuaraan ARRC nanti,” katanya.