Kekalahan itu menyebabkan impian kita ke final Piala Asia B-22 2013, tahun depan musnah.
B-22 perlu diberi pujian
Carian di Internet membuktikan penjaring dua gol mereka malam kelmarin, Kaung Si Thu sudah berusia 25 tahun, kapten Kyaw Zayar Win 24 tahun, Thet Naing 23 tahun dan yang melampaunya Ye Zaw Htet Aung pula sudah mencecah usia 26 tahun.
Jadi tak ralat sangat apabila melihat barisan Harimau Muda kita yang hanya dibarisi 10 pemain 21 tahun, lima pemain 20 tahun, empat pemain 19 tahun, tiga pemain 18 tahun dan seorang pemain 16 tahun, tampak tenggelam di hadapan gegak gempita 28,000 penyokong tuan rumah.
Apa pun pujian perlu diberi kepada barisan skuad B-22 negara yang sepatutnya mampu mengikat Korea Selatan pada aksi sulung 23 Jun lalu, hari pertama saya tiba di Yangon. Cuma tiga gol dilepaskan pada babak pertama menjadi pemusnah biarpun A Thamil Arasu berjaya membalas dua gol. Kita tewas 2-3.
Sentuhan Rozaimi Abd Rahman, anak Bongawan, Sabah, paling mencuri tumpuan apabila dia meledak empat gol ketika kita membelasah Filipina 7-0, dua gol ketika membenam Taiwan 4-2, hatrik ketika menewaskan Vietnam 3-0 dan melengkapkan gol ke-10 peribadi menerusi sepakan penalti ketika bertemu Myanmar, malam kelmarin.
Korea, Myanmar berpakat
Saya dan rakan-rakan yang membuat liputan di Yangon sudah pun menghidu satu pakatan dilakukan selepas menonton perlawanan ketiga membabitkan Myanmar bertemu Korea Selatan berkesudahan seri 0-0, 28 Jun lalu.
Ternyata pada perlawanan itu, Korea Selatan beberapa kali berpeluang menjaringkan gol tetapi sengaja tidak mahu dilakukan kerana perlu beri satu mata kepada Myanmar. Tak terkejut pun kerana jurulatih Myanmar, Park Seong Hwa dari Korea Selatan.
Akhirnya rasa ralat juga kenapa FAM langsung tak bersungguh membida sebagai tuan rumah saingan kelayakan ini, yang saya pasti sudah tentu kita boleh mara dengan mudah andai beraksi di depan penyokong sendiri. Sekarang lihatlah akibatnya.
Hanya satu cara untuk FAM menebus kembali 'dosa' itu iaitu dengan bersungguh-sungguh membuat bantahan rasmi kepada AFC berhubung salah laku pasukan Myanmar. Jika tidak, seluruh warga bola sepak Malaysia akan terus diselubungi rasa kecewa.
Sekian.



