FELCRA teroka  projek pembangunan GDV RM1b
FELCRA Bhd mula mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan penerokaan dalam bidang hartanah menerusi pembangunan projek berprestij membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM1 bilion awal tahun depan.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, yang sebelum ini menjalankan aktiviti perniagaan berkaitan peladangan sawit, getah dan padi, berca-dang menjadikan kawasan seluas 1.8 hektar di Jalan Semarak, Kuala Lumpur seba-
gai destinasi sulung kepada projek pembangunan berkenaan. Cari rakan usaha sama


Projek hartanah itu akan membabitkan pembangunan jenis menara pejabat, kondominium dan pusat perniagaan.

Justeru, bagi merealisasikannya, FELCRA kini sedang mengenal pasti pemaju hartanah yang sesuai untuk dijadikan rakan usaha sama bagi membangunkan kawasan berkenaan.

Meskipun tidak meletakkan sasaran tempoh masa memuktamadkan pemilihan rakan usaha sama itu, pengurusan kanannya berharap dapat memutuskan perkara itu tidak lama lagi.
Apabila dimajukan kelak, tanah di Jalan Semarak itu dijangka menyumbangkan pendapatan berulang kepada kumpulan dalam jangka panjang.

Ketua Eksekutif FELCRA, Datuk Ramlee Abu Bakar, berkata projek pembangunan hartanah itu adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap segmen perniagaan sawit dan getah.

“Projek itu akan dibangunkan menerusi dua fasa, dengan fasa pertama dijangka menelan belanja sekitar RM300 juta.

“Kami kini hanya menunggu kelulusan Kementerian Kewangan (bagi tujuan pembangunan projek hartanah). Sebaik memperolehnya, kami akan memulakan pelaksanaan projek itu,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian Ikrar Integriti Korporat antara FELCRA dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam.

Tunggu kelulusan kerajaan

Pemeteraian ikrar yang turut dihadiri Pengerusi FELCRA, Datuk Bung Mokhtar Radin, disaksikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Mengenai rancangan FELCRA untuk menyenaraikan anak syarikatnya, Bung Mokhtar berkata, kumpulan masih mengenal pasti anak syarikat yang berpotensi untuk di senarai di Bursa Malaysia.

Katanya, langkah itu dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“FELCRA masih dalam peringkat kajian untuk mengenal pasti anak syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan, dan ia tidak akan membabitkan kesemua anak syarikat.

“Ini (penyenaraian) adalah salah satu aspirasi FELCRA untuk mengembangkan per-
niagaan supaya tidak terlalu bergantung kepada perniagaan sawit dan getah,” katanya.