FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) merancang melaksanakan penyusunan semula dalaman bagi menyelaraskan operasinya di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Ia juga membabitkan penggabungan Twin Rivers Technologies US Inc (TRT US) dengan TRT Holdings, kata CIMB dan Maybank Investment Bank bagi pihak FGVH dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Apabila penggabungan itu selesai, pemegangan saham FGV North America dalam TRT Holdings, mewakili 117,646 saham biasa Kelas A dan 80,000 saham biasa Kelas B, ditukar kepada saham biasa satu kelas.
Langkah lain membabitkan pembatalan dan hapus kira hutang FGV North America kepada Felda Global Ventures North America US LLC (FGV US LLC) dan oleh FGV US LLC kepada TRT Holdings menerusi pertukaran hutang subordinat dalam TRT Holdings sebanyak AS$49.7 juta (RM156.72 juta) kepada ekuiti.
FGV US LLC yang ditubuhkan pada peringkat awal sebagai entiti tujuan khas bagi membiayai pinjaman kepada TRT US untuk menangani risiko menukar hutang sebagai ekuiti jika permohonan muflis diselesaikan.
Bank pelaburan berkata, memandangkan hutang subordinat antara syarikat dilupuskan, entiti berkenaan tidak perlu terus wujud.
Kemudian, penstrukturan semula hutang akan diambil alih oleh TRT Holdings ETGO Inc dan Twin Rivers Technologies Entreprises de Transformation de Graines Oléagineuses du Québec Inc (TRT-ETGO Inc).
Penstrukturan semula hutang membabitkan pertukaran 73.053 juta unit saham pilihan Kelas A bernilai CAD73.05 juta sebagai pertukaran untuk 1,000 saham biasa bernilai CAD73.05 juta.
Ia selain suntikan dana oleh FGVH, menerusi FGV North America dan TRT Holdings ETGO Inc, ke dalam TRT-ETGO Inc yang kelak akan digunakan untuk menyelesaikan hutang luar TRT-ETGO Inc sebanyak CAD102 juta.
TRT-ETGO Inc adalah anak syarikat milik penuh TRT Holdings ETGO Inc,seterusnya adalah anak syarikat milik penuh TRT Holdings.
TRT US adalah anak syarikat milik penuh TRT Holdings, yang juga anak syarikat milik penuh FGV North America.
FGV North America adalah anak syarikat milik penuh Felda Global Ventures Downstream Sdn Bhd (FGV Downstream), iaitu anak syarikat milik penuh FGVH; dan FGV US LLC adalah anak syarikat milik penuh FGV North America.
Objektif penyusunan dalaman yang dicadangkan bertujuan menyelaraskan operasi yang mana FGV Downstream menerusi FGV North America akan menjadi milik langsung TRT Holdings ETGO Inc menerusi langgannan 1,000 saham biasa dalam TRT Holdings ETGO Inc dan entiti bergabung TRT US dan TRT Holdings selepas proses itu.
Penyusunan semula dijangka meningkatkan fleksibiliti pengurusan dari segi operasi, termasuk memudahkan penyusunan perniagaan pada masa depan dan pembangunan perniagaan.
Pembayaran semula hutang luar oleh TRT-ETGO Inc bertujuan mengurangkan obligasi hutang dan dijangka meletakkannya pada kedudukan kewangan yang kukuh bagi meningkatkan keuntungan dan pertumbuhan akan datang.
FGVH menarik balik kemudahan pinjaman sedia ada dan seterusnya melanjutkan dana itu kepada FGV North America, kata CIMB dan Maybank Investment Bank.
FGV North America akan menggunakan dana itu untuk melanggan saham-saham dalam TRT Holdings ETGO Inc.
TRT Holdings ETGO Inc seterusnya akan menggunakan dana itu untuk melanggan saham dalam TRT-ETGO Inc.
TRT-ETGO Inc akan menggunakan dana ini untuk menyelesaikan hutang luarnya sebanyak CAD102 juta, katanya.
Susulan proses ini, keuntungan tawaran awam permulaan FGVH kini dirancang untuk pembayaran semula pinjaman TRT-ETGO Inc, akan digunakan untuk membayar kemudahan pinjaman yang di tarik balik oleh FGVH. – BERNAMA
