Cara pergaulan awal beri petunjuk kesediaan mereka memulakan proses pembelajaran

MINGGU lalu, kolum permata hati membincangkan isu perkembangan kanak-kanak pra-tadika lingkungan usia tiga tahun daripada aspek kognitif, semangat, fizikal dan sosio-emosi.
Berikutnya, kupasan topik perkembangan kanak-kanak dalam kategori pra-tadika, berusia empat tahun.

Usia antara satu setengah hingga tiga tahun adalah peringkat paling sesuai mengajak kanak-kanak belajar dan mengingati"

Kanak-kanak pada peringkat ini mempunyai perangai dan self esteem (keakuan) serupa ketika berusia antara tiga dan empat tahun.

Namun, proses sosiolisasi atau pergaulan membezakan sama ada kanak-kanak usia empat tahun menunjukkan potensi bersedia memulakan proses pembelajaran lebih serius.

Pengurus Pusat Asuhan & Perkembangan Tadika Orange, Wan Suhaila Wan Salleh, secara umumnya, kanak-kanak pra-tadika (empat tahun) sudah boleh berdikari, bersikap realistik, mula pandai berkongsi dan berkawan, mengenal pasti minat masing-masing dan aktif membina kemahiran kendiri serta lebih fokus terhadap proses pengajaran.

"Kebanyakkan kanak-kanak berusia empat tahun tidak lagi terkepung dalam dunia bermain, semakin aktif, memerlukan ruang untuk merasa bebas dan berdikari, belajar bergaul secara lebih baik, mudah berkongsi dan belajar menunggu giliran masing-masing.
"Bergantung kepada pendidik bagaimana mahu mengenal pasti kanak-kanak ini sama ada dalam kategori cergas, malas atau normal.

“Penelitian ini memudahkan guru memantau perkembangan kognitif kanak-kanak seperti mahu membaca, mewarna, melukis, mengira dan menulis," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Setiap kanak-kanak mempunyai kepintaran dan keistimewaan tersendiri. Peranan mencorak kanak-kanak ini bergantung pada sensitiviti ibu bapa iaitu membina kemahiran membaca dalam tempoh dilahirkan hingga usia tiga tahun.

Menurut Wan Suhaila, tempoh berkenaan digelar tempoh pembelajaran kritikal membina kemahiran membaca kerana pengetahuan membaca sejak kecil mendedahkan dan menimbulkan minat pada kanak-kanak berkenaan mengikuti dunia pembelajaran.

"Usia antara satu setengah hingga tiga tahun adalah peringkat paling sesuai mengajak kanak-kanak belajar dan mengingat maklumat kerana keupayaan menyerap 'pelajaran' sepenuhnya seperti 'span dibasahkan'.

"Ujian menunjukkan kanak-kanak banyak bertanyakan pelbagai perkara kepada individu lebih dewasa supaya boleh memahami secara realistik pembelajaran kehidupan di sekeliling mereka.

“Apa yang ditanya selalunya lebih mudah diingat dan membantu proses pemahaman pembacaan," katanya menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu cepat menghukum kesalahan anak mereka sekali gus mempertikaikan kebolehan anak.

Ujarnya, adalah biasa bagi kanak-kanak berusia empat tahun melakukan kesalahan agar dapat memahami realiti kehidupan.

Malah, kesilapan dilakukan memudahkan pendidik menjalankan proses pembelajaran, menerangkan maksud kesalahan dilakukan sekali gus menerapkan pembinaan sahsiah insan serta perkembangan kanak-kanak aktif dan positif.

INFO :

* Cara mudah mendekati dan menjalankan proses pembelajaran kanak-kanak pra-tadika melalui permainan kreatif, bina minda, perkenalkan huruf bersama gambar dan aktiviti berkumpulan.

* Jangan sesekali pertikaikan kebolehan anak namun, didik dan fahami kehendak mereka sama ada minat bereksperimen atau aktif meneroka supaya dapat pengalaman menghadapi realiti kehidupan.

* Ajar kanak-kanak secara Islamik (bagi yang beragama Islam) seperti memulakan program mini tahfiz juzuk amma, praktikal solat dan hafalan zikir, doa mudah serta nasyid

* Ketika usia tiga hingga empat tahun, kanak-kanak menjalani peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

* Kanak-kanak petah berkomunikasi lebih mudah belajar membaca kerana menganggap ia aktiviti menyeronokkan. Manakala, kanak-kanak pelat dan lambat diajar membaca berisiko mengalami kelemahan daya ingatan akibat takut.

* Kenali perkembangan anak. Segera selesaikan jika anda perasan anak mengalami masalah seperti membezakan bentuk, turutan abjad, atribut huruf, keliru huruf serupa seperti b dan d, serta gagal mengaitkan perkataan atau suku kata.

* Sabar melayani kerenah kanak-kanak pratadika. Adalah biasa mereka bersikap menguji dan mengjengkelkan kepada individu lebih dewasa bagi mempertingkatkan kemahiran kendiri.