Fiesta Pancing BSN Ahad ini Mior Kamarul Shahid (empat dari kiri) bersama wakil penaja pada majlis penyampaian tajaan Fiesta Pancing BSN 2013 di Balai Berita, semalam. - Foto Nik Rosli Ishak
Kuala Lumpur: Bonus berupa wang tunai RM10,000 bakal menjadi milik peserta, yang berjaya menaikkan ikan dengan logo Bank Simpanan Nasional (BSN) pada Fiesta Pancing BSN 2013 di Putrajaya, Ahad ini.

Spesies ikan yang masih dirahsiakan itu akan dilepaskan di lokasi pertandingan di Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland, Presint 13, esok.
Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Jabatan Komunikasi Korporat BSN, Puspa Marina Omar, berkata hadiah tambahan itu bagi menghargai komitmen dan sokongan peserta kepada BSN selain menggalakkan lebih ramai menyertai pertandingan itu.


“Orang ramai diminta tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan ini sambil mengambil bahagian dalam pelbagai acara menarik berkonsepkan kekeluargaan sepanjang dua hari fiesta berlangsung,” katanya selepas majlis penyampaian tajaan Fiesta Pancing BSN 2013, di Balai Berita, semalam.

Pada majlis itu, BSN menyerahkan tajaan RM170,000 kepada Unit Joran Berita Harian.

Turut menaja, pengeluar produk makanan dan minuman, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi); Nestle Products Sdn Bhd (Nestle/Maggi) dan syarikat pengeluar produk penjagaan kecantikan, Catalyst Nutraceutical (M) Sdn Bhd.

Adabi diwakili Koordinator Promosinya, Norol Liza Zainal Abidin; Nestle/Maggi oleh Pengurus Acaranya, Hamidah Othman dan Catalyst Nutraceutical diwakili Koordinator Pengedaran Bahagian Pulau Pinang/Kedah, Nurul Nadia Ahmad Nazri. Semua tajaan diserahkan kepada Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid. Hadir sama, Pengarah Projek Joran, Mohd Mizal Hasbullah
Fiesta Pancing BSN 2013 yang julung kali diadakan bank komuniti itu, menawarkan hadiah wang tunai RM58,500 selain sebuah motosikal dan bot gentian kaca sebagai hadiah utama cabutan bertuah.

Juara akan membawa pulang RM25,000 berserta hadiah iringan, kedua (RM10,000), ketiga (RM5,000), keempat (RM1,000), kelima hingga ke-10 (RM300), ke-11 hingga ke-35 (RM200), ke-36 hingga ke-45 (RM150) dan ke-46 hingga ke-55 (RM100).

Pertandingan bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari Ahad dengan setiap penyertaan dikenakan bayaran RM70 dan akan menerima Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM20. Maklumat lanjut hubungi Unit Joran BH di talian 1300226787 sambungan 4240 atau Zulhilmi Hat, 019-314 3664 dan Mohd Hazrul Rabu, 019-314 1642.