Filipina rugi koleksi Imelda rosak Gambar fail Imelda menunjukkan sebahagian koleksi kasut miliknya.
Manila: Banyak kasut milik bekas Wanita Pertama Filipina, Imelda Marcos, rosak disebabkan serangan anai-anai, kesan cuaca dan tidak dijaga sejak koleksi itu dan barangan peribadi lain ditinggalkan selepas beliau dan suami diktatornya lari dan tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat berikutan kebangkitan popular pada 1986.

Disimpan tanpa perlindungan
Beratus-ratus helai pakaian bekas Presiden Ferdinand Marcos, termasuk baju jarang tradisional ‘Barong’ untuk acara rasmi tempatan yang dipakai beliau ketika memerintah dua dekad juga mula rosak selepas disimpan bertahun-tahun tanpa sebarang perlindungan di istana presiden dan kemudian ditempatkan di Muzium Kebangsaan Manila, kata pegawai semalam.

Pasangan itu meninggalkan Filipina ketika kemuncak kebangkitan ‘kuasa rakyat’ disokong tentera yang menjadi contoh bagi negara lain di seluruh dunia untuk menolak pemerintahan kuku besi. Marcos mati ketika dalam buangan di Hawaii pada 19892989, Imelda serta anak-anaknya pulang ke tanah air beberapa tahun selepas itu.

Ketika lari, mereka meninggalkan banyak barangan peribadi dan pakaian di istana termasuk sekurang-kurangnya 1,220 pasang kasut milik Imelda.

Serangan anai-anai, kulat

Lebih 150 kotak pakaian, aksesori pakaian dan kasut pasangan Marcos dipindahkan ke Muzium Kebangsaan untuk simpanan kira-kira dua tahun lalu selepas anai-anai, keadaan cuaca dan kesan kulat merosakkan pakaian di istana tepi sungai itu.
Di muzium, keadaan menjadi lebih teruk apabila barangan yang tersimpan dalam kotak dibiarkan di dewan muzium berkunci yang tidak mempunyai kemudahan perlindungan daripada kesan kerosakan dan diburukkan lagi selepas siling bocor kerana hujan ribut bulan lalu, kata pegawai muzium.

Kakitangan muzium yang tidak mengetahui kotak terbabit ada barangan berharga milik pasangan Marcos hanya membuka dewan di tingkat empat bangunan itu selepas menyedari air masuk menerusi pintu. Mereka terkejut melihat kasut dan gaun milik Imelda apabila membuka kebanyakan kotak yang sudah basah.

Semua kotak itu kemudian dialihkan ke bilik mengering manakala yang lain dibawa ke makmal muzium dengan sepasukan kecil ahli kurator cuba menilai kerosakan., satu jumlah yang akan mengambil masa berbulan membabitkan sejumlah besar pakaian.

Ada sebahagian barangan yang rosak akibat dimakan anai-anai serta berkulat tidak boleh dibaiki lagi, kata pegawai kurator muzium, Orlandi Abinion yang mengetuai usaha berkenaan.

“Kami melakukan usaha pemulihan untuk menyelamatkannya. Serangan anai-anai dan kulat sejak beberapa tahun diburukkan lagi dengan ribut bulan lalu. Ini malang sekali kerana Imelda mungkin memakai pakaian ini dalam beberapa acara rasmi besar dan mempunyai tempat yang penting dalam sejarah negara,” katanya. - AP