Ekonomi

GST turunkan harga barang, perkhidmatan


gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto


Pelaksanaan lebih telus, kos operasi perniagaan lebih rendah

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kenaikan dalam harga barangan dan perkhidmatan, sebaliknya mampu mengurangkannya kerana ia bakal menurunkan kos operasi peniaga, kata firma percukaian PricewaterhouseCoopers Taxation Sdn Bhd.

Pengarah Eksekutif Kanannya, Wan Heng Choon, berkata GST juga adalah lebih telus dan seragam berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ketika ini yang mempunyai banyak kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

Jaminan pengecualian

“Selain itu, kerajaan juga telah memberikan jaminan akan memberikan pengecualian ke atas barangan keperluan tertentu seperti produk pertanian dan makanan asas jika GST dilaksanakan bagi menggantikan SST,” katanya pada taklimat media mengenai GST di Kuala Lumpur, semalam.

Wan menjelaskan, GST bakal menurunkan kos operasi perniagaan kerana peniaga yang berdaftar boleh menuntut cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan, selain syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada RM500,000 adalah dikecualikan daripada membayar GST.

“Kos perniagaan akan berkurangan selepas GST menggantikan SST kerana seseorang peniaga itu tidak lagi perlu membayar cukai jualan atas pembelian meja, kerusi dan kemudahan lain, sekali gus boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai itu,” katanya.

Konsep nilai ditambah

GST adalah cukai kepenggunaan berasaskan kepada konsep nilai ditambah kerana ia dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan, termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.

Perbezaan GST dengan SST ialah dari segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas iaitu ia dikenakan pada semua peringkat pengeluaran dan pengedaran di samping peniaga boleh menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar terhadap input perniagaannya.

Ini berbanding sistem SST yang mana cukai jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang dikeluarkan daripada kilang atau diimport, sementara cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu pada peringkat ia disediakan kepada pengguna.

Wan berkata, Malaysia perlu memperkenalkan GST berikutan kelemahan SST sedia ada yang hanya menguntungkan golongan peniaga, selain ia juga mampu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas pendapatan individu dan korporat.

Faedah seluruh rakyat

Beliau berkata, GST yang sudah dilaksanakan di lebih 140 negara seluruh dunia juga apabila dilaksanakan bukan hanya akan memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah, malah seluruh rakyat selain meningkatkan hasil cukai kerajaan serta mengelakkan ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

Katanya, kira-kira 70 peratus Perusahaan Kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dijangka menikmati pengecualian GST, manakala syarikat besar pula akan dikecualikan daripada membayar cukai bagi beberapa yuran profesional.

“Justeru, pelaksanaan GST akan memberikan situasi menang-menang kepada rakyat dan kerajaan,” katanya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan GST dalam masa terdekat kerana masih mengkaji implikasi pelaksanaan serta kadarnya.