PENYOKONG MCA memberi sokongan kepada Soi Lek ketika berjalan bersama Guan Eng selepas selesai sesi debat di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Debat antara MCA dan DAP yang buat julung kalinya diadakan sejak selepas negara merdeka, menyerlahkan betapa parti pembangkang itu tidak mempunyai pelan ekonomi jangka panjang dalam mentadbir negeri bawah pentadbirannya.
Dalam sesi perdebatan selama lebih sejam yang dikendalikan moderator, Tang Ah Chai yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Soi Lek diberi peluang mengemukakan beberapa soalan mengenai pelan ekonomi jangka panjang pembangkang, DAP sebagai parti perkauman yang hanya berani bertanding di kawasan majoriti kaum Cina, isu sekolah jenis kebangsaan Cina dan rumah kos rendah.
Guan Eng, nyata tidak dapat menjawab berapa banyak rumah kos rendah yang sudah dibina kerajaan negeri di Pulau Pinang serta gagal mengemukakan pelan jangka panjang dalam bidang ekonomi kecuali menjelaskan apa yang sudah dilaksanakan pentadbirannya ketika ini.
Ketika menjawab soalan balas Guan Eng berhubung isu rasuah dan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Soi Lek berkata, gejala rasuah dihadapi MCA selepas lebih 60 tahun parti itu ditubuhkan dan pihak terbabit sudah dibawa ke muka pembangkang jelas berdepan masalah besar meskipun baru tiga tahun memerintah.
“Jadi, apa akan jadi kepada pembangkang kalau mereka juga sudah 60 tahun memerintah kerana baru tiga setengah tahun, mereka juga sudah dipalit dengan tuduhan rasuah,” kata Soi Lek disambut laungan hebat kira-kira 1,000 hadirin.
Debat itu dianjurkan sempena persidangan Persimpangan Politik Kaum Cina di Malaysia anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dengan kerjasama Institut Analisa Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada sidang media bersama selepas debat berkenaan, Soi Lek dan Guan Eng, berpuas hati terhadap sesi perdebatan itu yang dilihat dapat menyerlahkan suasana demokrasi lebih matang antara kedua-dua parti itu.
“Kami juga bersetuju untuk mengadakan lagi sesi perdebatan ini dalam Bahasa Melayu atau Inggeris pada bulan depan. Mungkin juga selepas ini kita boleh menjemput Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang untuk turut sama berdebat,” kata Guan Eng.
Soi Lek berkata, debat itu bukan bertujuan mencari siapa pemenang atau pemidato terbaik kerana pemenang sebenar dalam konteks ini adalah rakyat.
“Rakyat akan mendapat gambaran sebenar hala tuju dan perjuangan parti menerusi sesi perdebatan ini, ” katanya.