Kuching: Pelaksanaan skim gaji baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka diumumkan selepas PRU-13.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata draf cadangan mengenainya sedang dikemas kini dengan mengambil kira pelbagai perkara termasuk kemahiran dan profesional yang dimiliki setiap anggota.
Dalam skim baru itu, beberapa kenaikan akan dilakukan sejajar dengan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, yang mana ATM antara perkhidmatan terkanan di negara ini.


Katanya, kerajaan mahu setiap anggota tentera bukan saja dinilai dari segi akademik yang dimiliki tetapi juga kepakaran mereka dalam menjalankan tugas berkenaan.

“Ini termasuk kemahiran menggunakan pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini.

“Kita mahu generasi muda yang mencari pekerjaan melihat ATM sebagai pilihan utama, berbanding sekarang sebagai pilihan terakhir,” katanya dalam Majlis Dialog Bersama Warga ATM di Kem Penrissen, di sini, semalam.

Turut hadir, Panglima 1 Divisyen, Mej Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar; Ketua Pengarah Cawangan Tenaga Kerja ATM, Brig Jen Datuk Md Sani Ahmad dan Pengarah Urusan Gaji ATM, Brig Jen Basrun Husain.
Seramai 733 pegawai dan anggota tentera menghadiri sesi dialog berkenaan bertujuan menzahirkan keprihatinan kerajaan untuk mendengar rintihan dan keperluan menaik taraf kehidupan anggota ATM sebagai menghargai jasa mereka.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, Kementerian Pertahanan akan melaksanakan lebih banyak projek rumah, bekalan air bersih dan pembinaan jalan di pedalaman Sarawak menggunakan kepakaran ATM.

Katanya, tahun ini kerajaan memberikan amanah lebih besar kepada kementerian bagi melaksanakan projek di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

“Kos projek hanya tertumpu kepada penyediaan bahan binaan saja yang mengurangkan sebahagian besar kos keseluruhan dan ini sudah dibuktikan apabila tentera menyiapkan jalan luar bandar Ba'Kelalan dengan kos RM48 juta berbanding RM400 juta jika dilaksanakan kontraktor,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang merancang membina lebih banyak jalan luar bandar menggunakan kepakaran tentera di kawasan
pedalaman lain termasuk di Parlimen Lubok Antu yang penduduknya juga amat memerlukan kemudahan itu.