Gaji minimum swasta RM900 NAJIB bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam ketika hadir pada majlis makan malam pekerja dan majikan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam tadi.
Kuat kuasa setahun daripada tarikh diwarta elak bebankan majikan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan hadiah istimewa kepada lebih tiga juta pekerja swasta sempena sambutan Hari Pekerja hari ini dengan menetapkan kadar gaji minimum masing-masing RM900 bagi Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan.
Perdana Menteri berkata, kadar itu bersamaan RM4.33 sejam bagi Semenanjung dan RM3.85 sejam bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.


Untuk tidak membebankan majikan dan tidak merugikan pekerja, katanya, kerajaan menyediakan mekanisme pelaksanaan dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Beliau berkata, kadar gaji minimum itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik termasuk pembantu rumah dan tukang kebun.

Tarikh kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

“Bagaimanapun, untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan sepenuhnya supaya perniagaan mereka tidak terjejas, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.
“Pengecualian 12 bulan ini tidak meliputi firma profesional seperti klinik pergigian dan perubatan, firma guaman, firma arkitek, firma juru perunding dan sebagainya, walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima orang atau kurang, mereka perlu mematuhi gaji minimum dalam masa enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Gaji Minimum Sektor Swasta pada majlis makan malam pekerja dan majikan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Najib berkata, pemberian tempoh itu untuk memberi masa mencukupi supaya majikan membuat persediaan menstruktur semula gaji pekerja dan operasi perniagaan.

Katanya, kerajaan juga turut menyediakan mekanisme pelaksanaan yang anjal supaya majikan yang tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon tempoh lanjutan.

Beliau berkata, kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 hingga RM1,500.

“Namun untuk permulaan, seperti syor Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan kajian Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi kerana kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing,” katanya.