Gemilang fesyen ABPBH

Gemilang fesyen ABPBH

Nor Hatina Shuib | hatina@bharian.com.my
2013/03/06

Pereka beri tafsiran tersendiri sejajar tema Ledakan Geometri 2012

Rekaan berciri abstrak dan mempesonakan bakal dipersembahkan dalam cetusan rekaan Boutique Dewi Sofea Sdn Bhd dan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo bagi menafsirkan, Ledakan Geometri yang diangkat menjadi tema majlis kemuncak berprestij Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), edisi ke-26.

Dua jenama fesyen tempatan berkenaan memberi petanda betapa hebatnya nanti konsep bakal diketengahkan sekali gus memberikan nafas baru dalam fesyen artis tanah air ketika bergaya melangkah di karpet merah pada acara ABPBH 2012 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, 7 April ini.

Apa yang pasti, jika sebelum ini ada yang membayangkan corak geometri seperti garisan putus dan panjang, kotak, lengkung atau bulatan diangkat untuk memenuhi tuntutan tema ABPBH 2012, tetapi tidak bagi dua nama terkenal ini yang mahu tampil berbeza dengan potongan baju mengujakan.

Baru-baru ini, sempena sidang media ketiga anugerah berprestij, di Holiday Villa Hotel & Suites Subang di Subang, kedua-duanya memberikan gambaran, kilauan fesyen dan percikan perincian melalui rekaan akan menterjemahkan pemahaman fesyen mereka dalam hamparan fabrik dengan begitu menyerlah serta unik sekali.

Warna ghairah

Meraih perhatian dengan suntikan warna ghairah dan terang seperti merah jambu, merah saga dan biru elektrik, ia bakal membuatkan semangat berfesyen untuk ke majlis gemilang itu pastinya mengusik hati sesiapa saja menyaksikan koleksi dua jenama ini.

Lebih istimewa, koleksi dari Boutique Sofea disarungkan pada tubuh genit dan langsing termasuk artis terkenal yang sensasi seperti Nabila Huda, Emma Maembong, Haneez Suraya dan Soo Wincci.

Bertemu Calvin dan pemilik Boutique Dewi Sofea, Datuk Hamzaki Hamzah yang dikenali sebagai Zach masing-masing begitu semangat mengetengahkan koleksi mereka untuk menjadi tatapan mata penonton sempena majlis ABPBH nanti.

Walaupun hasil seni mereka berbeza dan mempunyai kelebihan tersendiri mereka berkongsi semangat sama, memberi yang terbaik dengan memenuhi tema, Ledakan Geometri pada majlis itu nanti.


Tafsiran melalui perincian

Zach berkata, minat dalam dunia fesyen semakin bercambah kerana isterinya, Datin Nurul Harnani Mohd Zaawi begitu menyokong pembabitannya dan sedia berkongsi idea untuk menghasilkan koleksi istimewa untuk ABPBH.

“Apa yang kita kongsi bersama ini hanya 60 peratus daripada apa yang akan kita hasilkan pada 7 April nanti. Ini untuk memberi kejutan kepada peminat fesyen dan memperlihatkan satu perubahan berkenaan tafsiran geometri dalam dunia fesyen.

“Hari ini kita menyarungkan koleksi yang dihasilkan dalam masa tiga minggu kepada barisan artis seperti Nabila Huda, Soo Wincci, Nubhan dan Julia Ziegler manakala pada malam kemuncak itu nanti lebih 30 artis akan menyarungkan koleksi rekaan kami,” katanya yang akan menggunakan PVC sebagai fabrik koleksinya nanti.

Beliau berkata, cetusan idea berkenaan dikongsi bersama dua pereka fesyen di bawah butiknya iaitu Zeed Jamil serta Amirul Ashraf.

Katanya, koleksi yang direka bersama itu mentafsir sifat geometri itu melalui perincian seperti penggunaan metal dan fabrik.

“Seperti hari ini, kita memakai perincian besi dalam fabrik dan akan mencipta lebih keunikan dalam memberi sesuatu yang berbeza. Potongan gaun juga menggunakan panel kain berbentuk geometri yang menyerlahkan gaya. Antara fabrik yang kami gunakan adalah krepe, jojet, renda, mesh dan tulle seperti kain jaring,” katanya sambil memberitahu ini tahun kedua, menyertai ABPBH sebagai pereka fesyen.

Rona bebas


Calvin pula, menampilkan 12 koleksi yang diibaratkan memberi nafas baru dan segar kepada fesyen geometri. Tidak mahu terlalu terikat kepada corak geometri, apa yang dipersembahkan kali ini menyuntik imej geometri daripada tafsirannya sendiri.

“Saya mengikut tema yang dikehendaki penganjur. Apa yang ditunjukkan melalui majlis fesyen hari ini adalah geometri seperti bentuk, bulatan dan garisan. Ini adalah signatur saya sebagai pereka fesyen kerana tidak terlalu mahu menampakkan geometri. Sebagai contoh, gaun kembang itu sudah menunjukkan apa itu geometri kerana ia kembang dan membentuk bulatan,” katanya sambil memberitahu mengambil masa sebulan untuk menyiapkan semua koleksi berkenaan.

Bagi pemilihan warna pula, katanya, ABPBH 2012 bukan satu majlis yang menetapkan warna, lantaran itu beliau bebas memberi rona dalam rekaannya.

Katanya, kebanyakan koleksi geometri itu menggunakan fabrik jenis toffeta dan satin yang menyerlahkan gaya keanggunan si pemakai.

INFO

* Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012

* Di Stadium Putra Bukit Jalil

* 7 April 2013.

* Tema - Mengangkat tema ‘Ledakan Geomatri’.

- Perincian, potongan baju dan jenis fabrik melambangkan tema untuk fesyen ‘Ledakan Geomatri’ oleh koleksi Boutique Dewi Sofea Sdn Bhd dan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo.

- Menampilkan Zizan Razak dan Fara Fauzana sebagai pengacara majlis.

- 30 artis terpilih akan menyarungkan koleksi daripada Boutique Dewi Sofea Sdn Bhd pada malam kemuncak ABPBH 2012.