gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Foto

Pintu gerbang Kelantan.

Foto

Binaan simbol kekuatan, kemasyhuran tamadun

PINTU gerbang adalah satu struktur yang menjangkau ruang dan menyokong beban. Dikatakan kemunculannya seawal abad kedua sebelum masihi pada zaman Mesopotamia dengan binaan pertama dikenali sebagai Gerbang Kemenangan (Triumphal Arc). Ia dibina sebagai penghormatan di atas kejayaan tentera yang memenangi peperangan.
Di negara ini, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar binaan ini mula muncul tetapi dipercayai mula diperkenalkan sejak zaman kerajaan Gangga Negara di Beruas, Perak berdasarkan petikan dalam Sulalatus Sulatin.
Pintu gerbang membuktikan kreativiti dan inovasi masyarakat Melayu walaupun tiada kelengkapan mahu pun jentera moden bagi memudahkan kerja mengukir dan membina gerbang berkenaan. - Ibrahim Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara.

Berdasarkan kajian, gerbang adalah elemen seni bina tidak asing dalam kehidupan masyarakat Melayu terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sehingga hari ini pintu gerbang masih menjadi binaan yang biasa ditemui di seluruh pelusuk negara termasuk di kawasan komersial, pentadbiran kerajaan, kediaman mahu pun kelab rekreasi serta taman awam.

“Fungsi dan falsafah pembinaan pintu gerbang bukan sekadar menjadi pintu masuk ke kediaman. Ia lebih daripada itu yang berkait rapat dengan budaya dan kemunculan ketamadunan satu-satu bangsa di sebuah negara,” kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail.

Malah, Ibrahim berkata, pintu gerbang melambangkan kekuatan, kemegahan dan kemasyhuran sesebuah tamadun itu. Pembinaannya selalunya dikaitkan dengan penguasaan ke atas sesuatu kawasan atau wilayah selain mercu tanda kemenangan dan kekuatan sesebuah kerajaan.
“Contoh pintu gerbang menandakan kemenangan adalah pembinaan Gerbang Kemenangan (Arch de Triomphe) dibina pada tahun 1806 di Kota Paris pada zaman Napoléon Bonaparte bagi memberi penghormatan ke atas kejayaan tentera mempertahankan Perancis dari pihak musuh,” katanya.

Di sebalik pintu gerbang itu biasanya dibina sebuah kota sama ada sebagai kawasan pentadbiran atau kediaman rakyat.

Pintu gerbang juga mercu tanda sesebuah kerajaan atau sempadan negara, negeri atau pun wilayah selain berfungsi sebagai pintu masuk ke sesuatu kawasan di bawah kekuasaan seseorang pemimpin, kerajaan atau pemerintah.

“Pintu gerbang A Famosa di Melaka adalah tanda kekuasaan Portugis ke atas Melaka,” kata Ibrahim.

Dalam maksud tersirat yang lain, menurut Ibrahim, pintu gerbang juga adalah mercu tanda atau perlambangan kuasa dan kekuatan.

“Dari segi psikologinya, dengan adanya pintu gerbang yang gah, besar pastinya ia menggerunkan musuh yang berhajat untuk menyerang kota. Dalam erti kata lain pintu gerbang seakan berfungsi sebagai pengawal pintu atau penjaga kota mahupun istana,” katanya.

Dari segi budaya, Ibrahim berkata, pintu gerbang adalah penyambut tetamu atau simbolik mengalu-alukan kedatangan tetamu serta cerminan budaya atau identiti masyarakat.

Selain itu, pintu gerbang juga menjadi mercu tanda kawasan, wilayah atau daerah dan penanda sempadan antara negara mahu pun negeri.

“Kota Darul Ehsan adalah contoh pintu gerbang pemisah sempadan. Pintu gerbang itu dibina sebagai tanda sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor hasil cetusan idea Sultan Selangor ketika itu,” katanya.

Pameran Pintu Gerbang anjuran Muzium Negara bermula 17 Mac hingga 17 Mei ini menampilkan 13 koleksi pintu gerbang. Semuanya menampilkan ukiran kayu di mana 10 koleksi berasal daripada pantai timur menampilkan seni ukiran Melayu manakala tiga koleksi Cina dan satu lagi dibawa dari Indonesia.

Menurut Ibrahim, pintu gerbang koleksi tempatan mahu pun nusantara yang dipamerkan mempunyai keunikan dan kekuatan masing-masing serta falsafah tersendiri di sebalik pembinaannya.

Pintu gerbang juga melambangkan status pemilik kediaman. Selain istana, hanya orang besar istana atau golongan bangsawan membina pintu gerbang untuk kediaman mereka.. Masyarakat biasa atau golongan rakyat zaman dulu di alam Melayu biasanya tidak membina pintu gerbang untuk kediaman mereka.

Ia juga menjadi sempadan sosial antara pembesar dengan rakyat biasa. Pintu gerbang dianggap elemen penting, ia dibuka dan ditutup mengikut kesesuaian kerana istana adalah tempat urus tadbir negeri, kediaman raja serta menyimpan pelbagai rahsia kerajaan.

Pintu gerbang kerajaan hanya akan dibuka kepada rakyat untuk memberi peluang menyaksikan upacara besar di istana, termasuk majlis pertabalan dan perkahwinan diraja.

“Namun, bagi saya, pintu gerbang membuktikan kreativiti dan inovasi masyarakat Melayu pada zaman yang tidak mempunyai kelengkapan mahu pun jentera moden bagi memudahkan kerja mengukir dan membina gerbang berkenaan. Pengaruh budaya dan agama juga begitu jelas dalam seni bina serta ukiran yang ditampilkan.

“Paling penting pengaruh yang saya sebut tadi mempunyai maksud tersirat dari segi reka bentuk, ukiran dan motif yang ditampilkan,” katanya.

Malah dipercayai ukiran ayat Al-Quran pada kepala pintu gerbang walaupun sekadar tulisan ‘Bismillah’ mempunyai makna yang besar kepada pemilik kediaman mahupun istana.

“Ia mungkin sekadar kata pembuka, namun saya percaya ia lebih daripada itu. Begitu juga ayat-ayat suci yang lain seperti ayat Kursi, ayat Seribu Dinar mahu pun doa-doa lain pada ukiran yang ada,” katanya.

Dikatakan ada juga ayat pelindung atau karektor mahupun huruf yang diletakkan pada pintu gerbang sebagai alat pelindung kediaman. Malah, ada yang menyatakan ubat pengasih turut diletakkan di bendul pintu gerbang sebagai aspek keselamatan dari segi spiritual.

Perlambangan tubuh manusia

MENURUT Adiguru Ukiran, Norhaiza Nordin, pintu gerbang adalah satu metafora kepada anatomi tubuh manusia dari kepala, badan hingga ke kaki.

Justeru, binaan sebuah pintu gerbang dilihat seperti seorang manusia berdiri tegak seolah-olah pelindung atau pengawal di bahagian hadapan kediaman mahu pun istana.

Di alam nusantara pintu gerbang memberi makna dan fungsi tertentu pada tempat ia didirikan. Bagi istana Melayu, pintu gerbang adalah laluan masuk kepada ruang halaman istana serta menjadi pintu keselamatan.

Kekuatan sesebuah pintu gerbang dilihat dari segi bahan binaannya. Manakala keindahannya terletak kepada ukiran dan motif yang digunakan.

Antara motif yang ditonjolkan mempunyai kaitan dengan pengaruh budaya dan agama. Justeru, di alam nusantara kebanyakannya menggunakan motif alam, tulisan khat dan geometri.

Namun, masih ada motif yang menampilkan simbol yang masih ada pertalian dengan pengaruh zaman pra-Islam seperti motif gunungan, Kala, buah baton atau stupa.

Motif Kala adalah dari sejenis makhluk yang derhaka, yang diperintahkan oleh Dewa Siva untuk memakan dirinya sebagai hukuman. Persis wajah Kala iaitu kepala terpenggal, mata terjojol, hidung seperti singa dan mulut yang ternganga diberi nafas baru dengan kini diukir sebagai sekuntum bunga yang sedang mekar.

Motif stupa terhasil daripada bayangan puncak gunung dan dipercayai daripada lembaga manusia yang duduk bersila sambil bertafakur dalam seni ukir Melayu. Biasanya, ia diukir seperti buah buton dan didapati dalam kedudukan menegak pada pintu gerbang.

Motif gunungan dalam seni ukiran asalnya melambangkan kediaman dewa-dewi di pusat kosmos mengikut kepercayaan agama Buddha. Namun, dengan kedatangan pengaruh Islam motif itu dikenali sebagai Gunung Meru dan biasanya berbentuk seperti piramid, melebar di dasar dan merancung di puncak. Diinterpretasi sebagai lambang kuasa dan kesatuan yang turut melambangkan status pemilik kediaman.

Motif teratai pula adalah lambang suci dan penciptaan dan sering digunakan sebagai ragam hias pada dasar, kaki atau pinggir objek termasuk kaki pintu gerbang. Ia kemudian berkembang sebagai corak pucuk rebung dalam seni ukir Melayu Islam.

Motif Kala dihasilkan secara tidak langsung melalui motif tumbuhan. Manakala motif gunungan sering digunakan untuk hiasan atas pintu dan diserikan dengan bahagian tepi bentuk buah baton atau stupa. Motif tumbuhan yang biasa digunakan adalah bunga teratai, pucuk rebung, sesayap, sulur kacang dan bayam peraksi.

Antara koleksi berjaya menarik perhatian adalah pintu Gerbang Kelantan yang mempunyai bentuk gunungan yang bercorak getam guri manakala bahagian kepala pintunya berbentuk ‘stokono’ atau ‘geligis’. Berasal daripada Pasir Mas Kelantan pintu gerbang ini dihasilkan daripada kayu cengal dan menjadi pintu masuk kediaman golongan bangsawan di sana.

Gerbang Keraton Jawa yang diperbuat daripada kayu jati dan berasal daripada istana (kraton) di Pulau Jawa, hasil tangan Melayu Sambas. Gerbang berusia lebih 100 tahun ini memiliki unsur seni ukiran Jawa dan Melayu dihiasi sepenuhnya potongan ayat suci al-Quran, termasuk Ayat Seribu Dinar serta surah al-Ikhlas dalam tulisan khat Thuluth berwarna emas.

Gerbang Cina yang dikenali sebagai 'bed arch' berasal dari Hopei, China milik orang persendirian antara koleksi wajib dilihat. Berusia 200 tahun, gerbang ini diukir secara halus dan berseni menggambarkan kehidupan alam dunia dan kayangan seperti singa, pokok, burung dan tokong.

Info:
Nama: Pintu Gerbang Kota Kuala Kedah
Kategori: Koleksi Etnologi,
Lokasi: Perkarangan Muzium Negara,

Pintu gerbang ini mengambil bentuk Pintu Malim iaitu salah sebuah pintu gerbang Kota Kuala Kedah yang terletak di muara Sungai Kedah. Kota Kuala Kedah adalah satu-satunya Kota Melayu yang diperbuat daripada batu-bata yang masih kekal dan boleh dilihat hingga hari ini.

Kota ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah ketika baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 1760. Kota ini dibina bagi mempertahankan Kedah dari serangan tentera Siam pada masa itu.

Pelan kota ini disediakan Datuk Maharaja Kadhir dengan dibantu oleh anak saudaranya, Maulana Ibrahim Sahab dari India dengan membawa bersamanya tukang batu dari sana. Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 1771 dan siap sembilan tahun kemudian. Kota ini meliputi kawasan seluas dua ekar.

Pada bahagian menghala ke laut dan sungai, dua tembok dibina dan di antaranya, diisikan dengan tanah. Manakala bahagian belakang didirikan tembok selapis saja, Meriam besar buatan British dibeli dan dipasang pada kota yang menghala ke laut dan dua di antaranya mempunyai nama khas iaitu ‘Badak Berendam’ dan ‘Katak Puru’.

Apabila Negeri Kedah menerima Penasihat Inggeris, kota ini digunakan sebagai pusat pentadbiran. Untuk kemudahan mereka, sebuah pintu baru dibina di mana ia lebih besar dari Pintu Malim dan dikenali sebagai Pintu Inggeris. Replika ini dibina sebagai lambang kekuasaan dan kekuatan Kesultanan Melayu lampau.

Nama: Pintu Gerbang
Kategori: Koleksi Arkeologi,
Lokasi: Perkarangan Muzium Negara,

Pintu gerbang yang diperbuat daripada kayu cengal ini adalah hasil rekaan pengukir Diraja Nik Abdullah dari Kampung Atas Banggol, Kelantan. Ia siap dibina pada tahun 1934 bersamaan dengan 1353 H.

Pada asalnya pintu gerbang ini menghiasi rumah Tuan Haji Wan Hassan Wan Haji Ahmad, Mufti Negeri Perak ketika pemerintahan Sultan Idris. Ia kemudian dihadiahkan kepada Muzium Negara oleh Tuan Haji Wan Yusof Haji Wan Hassan pada 1978.