Masa kecil-kecil dan remaja dulu, adalah sikit-sikit main pasal kena paksa di sekolah atau kawan-kawan ajak masa musim kemarau apabila bendang yang kering-kontang dijadikan padang bola.
Sekarang Kunta Kinte kerap buat ahli keluarga, sanak saudara dan suku sakat yang gila bola marah dan emosional pasal Kunta Kinte tak setuju dengan pilihan mereka.
Misalnya, Kunta Kinte tak setuju dengan ketaksuban orang kita, tak kira bangsa, dengan bola sepak Inggeris sedangkan England bukanlah negara bola sepak yang kuat.
Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, orang kita gilakan bola sepak Inggeris sebab dalam benak mereka ada unsur-unsur penjajahan minda. Sama ada mereka sedar atau tidak, itu perkara lain. Kadang-kadang, banyak benda kita buat dengan tidak kita sedari atau fahami asal usulnya.
Tapi kita kena akui yang, sebagai bangsa penjajah, orang Inggeris memang hebat. Kejam sangat pun tidak, baik sangat pun tidak. Tapi pasal ambil hati, mereka kelas.
Tidak hairanlah kalau empayar mereka paling besar dalam sejarah. Ikut Wikipedia, pada 1922, Empayar British meliputi kawasan seluas lebih 33.7 juta kilometer persegi atau satu perempat daripada keluasan bumi.
Dengan tidak kita sedari, penjajahan itu terus berjalan dalam minda kita, bukan saja dalam kalangan orang yang hidup pada zaman British, malah sama kuat dalam kalangan generasi muda lepas merdeka.
Kunta Kinte rasa orang yang lahir dan hidup pada zaman British lebih kuat semangat antipenjajah dan lebih tulen semangat kebangsaan serta patriotisme mereka kalau nak banding dengan generasi sekarang.
Tapi kita tak boleh juga nak salahkan British atau orang kita yang taksub dengan segala-gala yang bersifat Inggeris sebab orang Inggeris tinggalkan banyak legasi yang baik macam sistem politik, ekonomi, pentadbiran dan yang paling meluas, bahasa.
Jadi, walaupun bola sepak Inggeris bukanlah yang paling hebat di dunia, ia adalah bola sepak yang paling diminati Malaysia sebab orang kita tahu mengenainya. Yang faham bahasa Inggeris baca atau dengar terus. Yang tak faham ada orang yang tolong terjemah. Jadi publisiti dan propaganda mengenai bola sepak Inggeris mudah tersebar.
Maka tak hairanlah kalau ramai orang kita gila bola sepak Inggeris dan sanggup tidak tidur malam serta tuang kerja kerana nak tunggu siaran langsung Liga Inggeris. Tidak kurang pula yang histeria kerana taksub kepada Manchester United, Arsenal, Chelsea, Liverpool, Tottenham Hotspur dan Manchester City.
Daripada pembacaan dan analisis Kunta Kinte, negara bola yang Kunta Kinte rasa paling hebat di Eropah adalah Sepanyol, Jerman dan Itali. England dan Perancis indah khabar daripada rupa.
Itu pun mereka tak boleh lawan banyak negara kecil dan miskin di Afrika dan Amerika Selatan. Tengok sajalah bilangan pemain import Afrika dan Amerika Selatan dalam pasukan liga nasional negara Eropah.
Sejak 1996, pasukan kebangsaan England gagal sampai ke peringkat separuh akhir dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Kali pertama dan terakhir England memang Piala Dunia ialah pada 1966 dan kalau tak silap Kunta Kinte, tak pernah menang Piala Eropah.
Macam mana pun, England bernasib baik dapat naik ke tempat keempat dalam penarafan terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas EURO 2012. Kunta Kinte tak hairan apabila Sepanyol dan Jerman atasi England. Tapi yang duduk tempat nombor tiga ialah negara kecil Amerika Selatan, Uruguay.
Tapi dari dulu lagi Kunta Kinte cukup kagum dengan Uruguay dan Paraguay, dua buah negara kecil Amerika Selatan yang sangat hebat permainan bola sepaknya. Dalam penarafan terbaru, Paraguay duduk tempat ke-25.
Tapi nak salahkan peminat bola sepak Malaysia kerana gilakan bola sepak England pun tak boleh juga apabila mutu bola sepak Malaysia terus ‘half-past-six’.
Dalam penarafan FIFA lepas EURO 2012, Malaysia duduk di bawah daripada Nepal, Palestin, Indonesia, Filipina dan Bangladesh. Malaysia jatuh nombor 157 daripada 205 negara dan wilayah yang anggotai FIFA.
Malah Malaysia kalah kepada negara-negara pulau yang kecil macam Tahiti, New Caledonia, St Vincent & the Grenadines, Malta dan Iceland.
Tak tahulah kalau pemimpin bola sepak kita yang seronok dengan kuasa dan pemain kita yang nak cepat kaya berasa cukup gembira pasal Singapura lebih teruk daripada kita. Wallahualam.
