Gimnas Selangor (dari kiri) Letitia Ng Weiqi, Sarah Aneesa Mazwan, Wafiyatun Nagiha Rosli, Nur Azira Aziri, Nur Eli Ellina Azmi dan Farah Ann Abdul Hadi meraikan kejayaan menang emas gimnastik artistik berpasukan, semalam. - Foto Luqman Hakim Zubir
Lebih manis kejayaan skuad Merah Kuning diperkuatkan gimnas negara - Farah Ann Abdul Hadi, Nur Eli Ellena Azmi, Letitia Ng Wei Qi, Sarah Aneesa Mazwan, Wafiyatun Nagiha Rosli dan Nur Azira Aziri itu menggagalkan cita-cita Melaka meraih emas buat kali keempat berturut-turut.
“Aparatus melombol membantu kejayaan ini apabila kami mengutip lebih banyak mata (51.35) mata berbanding lawan (49.75). Ia menjadi pemisah di antara kami dan Melaka,” kata Farah, 18, yang akan turun beraksi mempertahankan emas acara individu keseluruhan, hari ini.
Farah mengakui kejayaan memenangi emas itu lebih manis dan bermakna kerana ini pertama kali dia memenangi emas acara berpasukan sejak beraksi pada 2006 selain merampas kembali emas Selangor dalam acara itu selepas kali terakhir meraihnya pada 2004.
“Ini satu permulaan baik dan semuanya hasil kerjasama berpasukan. Saya harap ia menjadi perangsang kepada kami untuk lebih menyerlah dalam saingan individu,” kata pemenang perak acara senaman lantai Sukan SEA 2011.