Sukan

Gimnas Selangor tebus kecewa



Gimnas Selangor (dari kiri) Letitia Ng Weiqi, Sarah Aneesa Mazwan, Wafiyatun Nagiha Rosli, Nur Azira Aziri, Nur Eli Ellina Azmi dan Farah Ann Abdul Hadi meraikan kejayaan menang emas gimnastik artistik berpasukan, semalam. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kekecewaan Selangor gagal mempertahankan dominasi memenangi pingat emas selama 14 tahun Sukan Malaysia dalam acara gimnastik artistik berpasukan lelaki kelmarin pantas ditebus skuad wanita di Stadium Gimnastik SUKPA, semalam.

Lebih manis kejayaan skuad Merah Kuning diperkuatkan gimnas negara - Farah Ann Abdul Hadi, Nur Eli Ellena Azmi, Letitia Ng Wei Qi, Sarah Aneesa Mazwan, Wafiyatun Nagiha Rosli dan Nur Azira Aziri itu menggagalkan cita-cita Melaka meraih emas buat kali keempat berturut-turut.

Namun, kejayaan itu bukan mudah apabila mereka terpaksa bersaing sengit sebelum hanya dipisahkan satu mata dengan juara bertahan itu apabila menghimpun 191.7 mata dalam empat aparatus - senam lantai, palang bertingkat, batang titian, dan melombol.

“Aparatus melombol membantu kejayaan ini apabila kami mengutip lebih banyak mata (51.35) mata berbanding lawan (49.75). Ia menjadi pemisah di antara kami dan Melaka,” kata Farah, 18, yang akan turun beraksi mempertahankan emas acara individu keseluruhan, hari ini.

Farah mengakui kejayaan memenangi emas itu lebih manis dan bermakna kerana ini pertama kali dia memenangi emas acara berpasukan sejak beraksi pada 2006 selain merampas kembali emas Selangor dalam acara itu selepas kali terakhir meraihnya pada 2004.

“Ini satu permulaan baik dan semuanya hasil kerjasama berpasukan. Saya harap ia menjadi perangsang kepada kami untuk lebih menyerlah dalam saingan individu,” kata pemenang perak acara senaman lantai Sukan SEA 2011.