Kembara
Girang di Liverpool
Oleh Ruzaimi Sany Zainuddin
bminggu@bharian.com.my
2010/04/25
Bagi peminat bola sepak, tidak lengkap kunjungan ke bandar pelabuhan ini jika tidak melawat Stadium Anfield, gelanggang kelab terkemuka LiverpoolKEMBARA penulis ke bandar pelabuhan yang lebih terkenal dengan sukan bola sepak ini bermula dengan menaiki kereta api paling awal Virgin Trains di Stesen Euston, London sebelum tiba di Stesen Lime Street, Liverpool, kira-kira tiga jam kemudian.
Sebaik tiba, penulis tidak melepaskan peluang dengan waktu senggang yang ada untuk merayau-rayau sekitar Liverpool yang pernah mendapat status Kota Kebudayaan Eropah pada 2008.
Liverpool menempatkan ramai orang Melayu dan penulis kagum tatkala diceritakan sejarah kedatangan mereka ke kota ini, rata-ratanya sebagai kelasi dan bekerja di pelabuhan Liverpool.
Sejarah itu turut dikongsi Joseph Salter melalui bukunya, `The Asiatic in England’ yang menceritakan punca kota ini sering dikunjungi rakyat Malaysia.
Sejak 1951 lagi, Kerajaan Malaya ketika itu sering menghantar anak tempatan mengikuti pengajian di Kolej Perguruan Kirkby dan jika berpeluang singgah di kolej ini, akan mungkin terasa seolah-olah kembali ke zaman muda-mudi.
Bercakap mengenai Liverpool, nama The Beatles segera menjelma dan menjadi kewajipan buat peminat setia kumpulan muzik terkenal itu melawat Muzium The Beatles Story.
Ia memaparkan kisah empat anak muda anggota kumpulan terbabit yang cukup gah dengan rentak Merseybeat satu ketika dulu. Di sini, anda akan dihidangkan `tour’ magikal lagi menghiburkan berkaitan perjalanan seni The Beatles.
Bayaran masuk ke muzium terletak di kawasan dermaga Albert Dock yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ini ialah kira-kira RM65 bagi pelawat dewasa.
Di sini juga ada Galeri Seni Tate yang menyimpan pelbagai khazanah seni lukis kontemporari dan moden, tidak mengenakan bayaran masuk jika tiada pameran utama diadakan, manakala Muzium Perhambaan Antarabangsa mempamerkan sejarah perdagangan hamba dari kacamata kemanusiaan dan ekonomi.
Muzium Maritim pula menceritakan sejarah kegemilangan dan kepentingan pelabuhan Liverpool kepada Empayar British satu ketika dulu dan tidak jauh dari situ, tersergam mercu tanda Liverpool, bangunan Royal Liver yang dihiasi patung burung Liver.
Mitos menyatakan jika semua patung burung itu hidup dan terbang, bandar Liverpool akan ghaib!
Penulis juga sempat mengunjungi Liverpool ONE - pusat beli-belah moden dan futuristik berkeluasan 1.65 juta kaki persegi - menempatkan pelbagai jenama fesyen terkenal seperti Zara, Sports Direct dan Debenhams.
Di sini, ada kedai Liverpool Football Club (LFC) yang menjual pelbagai barangan kelab bola sepak terkemuka itu, dari kole minuman hinggalah tali leher tetapi penulis hanya memborong baju T dan pelekat kereta LFC.
Menariknya, kedai LFC terletak betul-betul bersebelahan kedai Everton, kelab bola sepak jiran yang juga musuh tradisi LFC dalam Liga Perdana Inggeris.
Jika ada bajet lebih, Cheshire Oaks Designer Outlets boleh dikunjungi untuk berbelanja kerana ia syurga penggemar jenama eksklusif yang ingin mendapatkan produk kegemaran pada harga lebih murah.
Soal makanan usah dirisaukan kerana banyak restoran menyediakan menu halal di pusat bandar Liverpool, terutama di London Road yang dipenuhi kedai makanan Arab dan India.
Dari Liverpool ONE, penulis menggunakan pengangkutan awam ke Anfield, stadium keramat LFC yang diminati penulis sejak 1989 lagi dan terus menempah pakej lawatan ke stadium dan muzium kelab bola sepak itu.
Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Anfield jika tidak dapat melihat kesemua piala dimenangi LFC yang pernah ditabalkan Raja Bola Sepak Eropah, manakala pertunjukan visual detik kegemilangan LFC menguatkan lagi kesetiaan peminat kelab ini.
Pengalaman berada di bilik persalinan pemain yang penuh dengan legasi `The Boot Room’ cukup mengkhayalkan sehingga perasaan melayang seketika dan seolah-olah kedengaran suara pengurus LFC, Rafa Benitez menerangkan strategi perlawanan.
Girang hati bila dapat menyentuh serta bergambar di depan papan tanda `This Is Anfield’ kerana ada mitos menyebut bahawa pemain yang menyentuh papan tanda itu sebelum permainan akan menerima tuah.
Pakej lawatan berharga 10 pound (RM60) juga menerangkan sejarah pembinaan stadium berkapasiti 45,362 penonton itu serta kemudahannya, namun paling mempesonakan ialah kecanggihan padangnya yang menggunakan sistem pemanasan bawah tanah untuk kegunaan ketika musim sejuk.
Lawatan berakhir dengan mengambil gambar di `The Kop End’, seksyen ruang duduk penonton yang identitinya amat digeruni pihak lawan kerana disifatkan sebagai pemain ke-12 bagi kelab ini yang lebih dikenali dengan jolokan `The Reds’.
Puas menghabiskan empat jam di stadium ini, penulis kembali semula ke pusat bandar untuk menziarahi kenalan di Universiti Liverpool.
Mereka yang mahu berkongsi pengalaman melancong ke luar negara, boleh menghantar rencana dan gambar ke bminggu@bharian.com.my atau pos ke Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.