Nasional
'Guan Eng kena jawab isu wang'
Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2010/09/26
MUHYIDDIN melawat Chua Tuan Huat dan isterinya, Gan Chim, yang menghidap penyakit ahmar dan sakit tua di rumahnya di Kampung Jorak, semalam.
Umat Islam tak mahu subahat sumber duit judi lumba kuda: Muhyiddin
PAGOH: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng perlu memberi penjelasan berhubung dakwaan mengenai sumber kewangan digunakan untuk program pembasmian kemiskinan tegar di negeri itu yang disumbangkan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendedahan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mengenai isu turut membabitkan bukti dikemukakan.
“Kita tunggu maklum balas atau penafian Ketua Menteri Pulau Pinang itu kerana pada saya, prinsipnya kena jelas...kalau wang ihsan itu daripada sumber haram, kita umat Islam tidak mahu subahat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Melonjak Kecemerlangan Pendidikan Pagoh anjuran bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam.
Muhyiddin mengulas pendedahan Pemuda UMNO yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan perlumbaan kuda di negeri itu.
Ini dibuktikan menerusi kepala surat Pejabat Ketua Menteri mengenai penerimaan sumbangan itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Lim iaitu Farida Hani M Yacob, bertarikh 9 Julai lalu.
Selain itu, Muhyiddin turut menegaskan, beliau selaku Menteri Pelajaran tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan tatatertib termasuk menggantung dan memberhentikan kerja mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan termasuk pengetua sekolah.
“Sebarang tindakan tatatertib terhadap kakitangan kerajaan berjawatan tetap perlu mengikut peraturan dan undang-undang selaras peruntukan Perlembagaan,” katanya mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya Muhyiddin enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulaijaya, Johor dan Bukit Selambau, Kedah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Muhyiddin turut mencabar Kit Siang membuktikan peruntukan undang-undang yang boleh digunakan menteri untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pengetua sekolah berkenaan.
"Kit Siang tidak faham peraturan itu kerana saya rasa dia tidak pernah menjadi pegawai kerajaan," katanya.
Beliau berkata, bagi kes pengetua atau pegawai kerajaan berjawatan tetap serta berpangkat DG48 dan ke atas, kuasa mengambil tindakan terletak di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan urusetianya adalah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mereka perlu mematuhi prosedur ditetapkan.
Selain itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan mengadakan transformasi bidang vokasional bagi meningkatkan jumlah pelajar yang mengambil bidang itu termasuk membolehkan pelajar mengikuti aliran berkenaan lebih awal iaitu selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).