BALING: Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Ricther yang melanda daerah ini pagi tadi turut dirasai guru dan pelajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Bandar, Siong dekat sini.

Guru Besar sekolah itu, Muhd Fadzli Shaari berkata guru dan pelajar yang berada di tingkat satu bangunan sekolah merasai gegaran kecil yang berlaku dalam
beberapa ketika sehingga menyebabkan mereka berasa loya. Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia turut menghubungi pihak sekolah berkenaan untuk mengesahkan gegaran itu selepas kira-kira 10 minit kejadian.



Seorang guru, Lydia Zephaniah berkata dia merasai gegaran ketika sedang mengajar, namun tidak mengesyaki ia disebabkan gempa bumi sehingga pihak sekolah menerima panggilan daripada Jabatan Meteorologi.

"Saya hanya duduk di kerusi dan melihat pelajar saya setelah merasai kelainan yang tidak pernah saya alami selama ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, gempa bumi yang melanda Kupang di sini pada 8.26 pagi, berpusat di 11km selatan Baling dan kesan gegaran boleh dirasai di sekitarnya. - BERNAMA