KUCHING: Seorang guru lelaki yang menghadapi dakwaan mencabul lima murid berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah di Bungan, Dalat, dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.

Guru berusia 32 tahun itu ditahan reman enam hari di Balai Polis Sibu sejak 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata pihaknya akan mengambil kenyataan dua lagi mangsa sebelum menyerahkan kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya.


Beliau berkata, pendakwaan dijangka dibuat dalam tempoh terdekat apabila siasatan dijalankan sepenuhnya.

"Tempoh tahanan reman guru berkenaan tidak dilanjutkan dan dia dibebaskan dengan jaminan polis semalam (kelmarin).

"Polis akan menyelesaikan siasatan kes itu secepat mungkin dan akan merekodkan kenyataan daripada dua lagi mangsa," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Guru lelaki berkenaan didakwa mencabul lima murid termasuk seorang adik iparnya ketika isterinya sedang menunggu masa melahirkan anak sulung mereka.