Laman Utama » Rencana
'Hanya kamek layak perintah Sarawak'
BENARKAH Barisan Nasional (BN) Sarawak kini berdepan saingan sengit pembangkang dan calon Bebas berikutan semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dicabar? Malah pakatan pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS yakin untuk menang sehingga menamakan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bina sebagai Ketua Menteri. Wartawan Berita Minggu, MISIAH TAIB dan HASSAN OMAR menemu bual Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg di Kuching dan Baru Bian, di Lawas (Limbang) untuk membuat penjelasan lanjut.Parti tempatan komponen BN terbukti mampu tingkatkan kemajuan negeri
ABANG JOHARI
PADA pilihan raya negeri lalu, BN Sarawak cuma kalah di sembilan kerusi. Sekarang kita dengar BN akan hilang lebih banyak kerusi. Ia mungkin bukan perkara luar biasa, tapi disebabkan standard BN Sarawak sangat tinggi, orang akan kata sokongan terhadap BN sudah berkurangan. Apa pandangan Datuk?Dalam demokrasi anda perlu jangka perkara sebegini akan berlaku. Dalam sistem demokrasi kerajaan perlu dibentuk asalkan kita dapat majoriti selesa. Tapi standard kita dua pertiga. Apabila BN menang kurang dua pertiga, orang akan kata kita sudah teruk. Tapi bagi negara lain, asalkan dapat majoriti selesa sudah memadai. Bagi saya, ia proses demokrasi dan kematangan pengundi. Kalau kita kalah pusingan ini, pusingan seterusnya pengundi mungkin akan kembali. Kita tengok sejarah kerusi kawasan Kuching, kita kalah kepada Sim Kwang Yang (DAP), tapi lepas itu kita menang menerusi Song Swee Guan, lepas itu kalah lagi. Begitu juga Ling Sie Ming di Sibu, kita kalah dan kita kembali menang selepas itu. Itu proses demokrasi.
Ia mungkin wake up call. Kita lalai sikit, mereka kasi 'jek' sikit. Ini biasa. Macam BN pada 2008, kita (BN pusat) kalah beberapa negeri, ia wake up call. Orang UMNO buat kajian semula, dasar dan sebagainya. Lepas itu Datuk Seri Najib Razak kata 2020, kita bukan saja akan jadi negara maju, malah negara berpendapatan tinggi. Maknanya, dengan sendiri kita berubah untuk kebaikan. Ini penilaian saya.
Kita tak boleh terlalu rigid asalkan kita ada majoriti selesa kerana kita hendak kestabilan. Kestabilan penting kerana kita negara perdagangan. Kita sudah berada dalam persekitaran global dan kita kena kuat. Ia serupa Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun, apabila kalah sikit Jepun pun bermasalah. Tapi kalau kita tengok, China dalam proses berubah dari negara sosialis kepada demokrasi secara perlahan-lahan. Tapi China memperkuatkan ekonominya dulu, jadi tak ada masalah. Russia pula pecah. Ia adalah model terbaik yang boleh kita tengok.
Datuk lama dalam politik. Apakah Datuk lihat ada perubahan segi trend dan strategi sekarang berbanding dulu?Pada 1981, kalau berdialog, kita kena pergi ke kampung dan bersemuka. Tapi sekarang kita masih bersemuka tapi menerusi saluran lain iaitu Facebook (FB). Inilah kelainannya. Saya pernah katakan, waktu baru dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, ada rakyat menggunakan FB untuk minta jalan dibesarkan dan saya memberi maklum balas. Teknologi sekarang begitu cepat. Tapi FB ada kala baik, ada kala tak baik dan disalah guna. Salah guna teknologi tapi dari perspektif perubahan, memang ada. Kawasan saya kawasan bandar, pengundi bandar berpelajaran tinggi. Kita mesti mengikuti perkembangan terkini dan tahu apa yang berlaku. Ketika saya ke kampung Melayu penduduk tanya saya mengapa bursa saham begini, maknanya kita mesti tahu asas ekonomi. Kalau tidak, orang kata apa jenis pemimpin ini tak tahu apa-apa.
Kali ini pembangkang guna strategi lain dan media baru, apa pandangan Datuk?Ini perkara baru. Saya lihat dan dapat tahu mereka menggunakan animasi. Hari ini mereka menggunakan burung kenyalang sebagai maskot. Sebab itu dari awal lagi untuk parti kita (PBB) kita sudah ada kursus. Kita kata ini fenomena baru, pendekatan mereka akan berbeza, mereka akan gunakan bukan saja media baru tetapi juga teknologi baru. Kita dalam PBB sudah bersedia untuk menggunakan teknologi baru ini, tapi mungkin rakan kita tak bersedia. Tapi pada akhirnya rakyat akan kata, apa yang mereka mahukan adalah masa depan mereka, anak cucu dan negeri kita. Apa kita perlu, pertama kestabilan, kedua keadaan yang kondusif pembangunan ekonomi, pelaburan dan susunan masyarakat yang lebih baik serta kita mahu bergerak ke hadapan. Sebab itu saya dah kata macam Kuching, pelancongan adalah sektor penting. Kita bangunkan kawasan yang boleh tarik pelancong. Limpahan daripada pelancongan begitu besar.
Bagaimana Datuk melihat kehadiran ramai pengundi muda?Berdasarkan pengalaman khususnya di kawasan saya, ramai Bumiputera kelas pertengahan dan ramai yang berpendidikan tinggi. Kita mesti berinteraksi dengan mereka. Kedua, kita perlu input mereka. Kalau kita berinteraksi dengan mereka, kita rasa tanggungjawab kita bukan hanya dilakukan wakil rakyat, tapi semua. Sebab itu saya ada jenama ‘Satok For All, All For Satok.’ Ia bukan untuk saya, dengan kata lain saya bawa orang tua dan muda bersama. Pembangkang kata orang tua lapuk, tapi orang tua ada kebijaksanaan. Kalau kita usaha bersama, saya yakin orang muda pun nak juga kesinambungan.
Jadi dakwaan pengundi muda tidak menyebelahi kerajaan tidak benar?Saya nampak isu orang muda ini hanya persepsi. Sebab pemimpin dulu pun daripada orang muda juga. Bagi pembangkang persepsi sentiasa muda, daripada ABIM, aktivis, penuntut Universiti Malaya (UM). Itu persepsi, tidak semesti berlaku. Tapi generasi muda sekarang mahu jaminan masa depan. Di negara maju, jika mereka tanya karier pilihan anda, politik adalah paling bawah seperti di Amerika Syarikat berbanding jurusan korporat. Tapi kalau ada yang tak kena berlaku pada negara mereka, golongan muda akan bangkit, misalnya kalau pekerjaan tak cukup. Kita kena rasional.
Orang kata orang muda macam-macam (kerenah), tak semestinya. Kita mesti berinteraksi dengan mereka dan mesti ada persekitaran orang muda bersama kita. Apabila tiba masa, kita kena beri laluan kepada orang muda. Pemimpin muda perlu kita latih. Masalah kita ialah kebijaksanaan. Ada orang muda, dia gopoh, ada orang tua, dia tak ikut aliran zaman yang berubah. Kita gabungkan kedua-duanya. Kebijaksanaan ini tak ada dalam buku teks. Adakalanya anda ada emosi. Apabila ada masalah, anda sangat emosi dan tindakan berasaskan emosi, mungkin salah.
Sejauh mana Datuk melihat perubahan permintaan dan jangkaan pengundi sekarang berbanding dulu?Saya rasa secara umumnya sama, tapi permintaan berubah. Dulu dia minta jambatan, sekarang kata jalan sesak, sama juga pengangkutan. Dulu minta jambatan sebab tak ada kereta, sekarang kehidupan rakyat lebih baik, banyak kereta, jalan pun sesak. Dia tanya pula bagaimana nak atasi kesesakan, bermakna samalah, hanya keadaan berubah.
Sudah lumrah setiap kali pilihan raya, ada penyandang digugurkan dan mungkin ada yang tidak gembira. Apakah ia memberi kesan kepada usaha menggerakkan jentera parti? Kalau ada tindakan, pasti akan ada reaksi. Ia sudah dijangka. Tapi akhirnya keadaan kembali seperti sedia kala. Semua mahu keadaan lebih baik dan mereka bergerak ke hadapan.
Tapi ada kala mengambil masa beberapa hari untuk seseorang menerima hakikat dia tidak lagi akan menjadi YB?Memang ada. Terpulang kepada individu. Ada berundur secara sukarela, misalnya Datuk Wan Wahab Wan Sanusi dan Datuk Dr Rauf Abang Zen. Ia perkara biasa. Ada juga yang mempersoalkan, mengapa dia digugurkan? Tapi saya rasa dua tiga hari selepas itu, keadaan kembali seperti biasa kerana pada akhirnya yang lebih utama adalah parti, rakyat dan negeri.
Saya tengok di Lambir ada orang akar umbi, balik dan bergerak, di Saribas memang sudah ada. Di Demak Laut, semua jentera turun berkempen. Yang tak membantu cuma seorang dua. Semalam (kelmarin) saya ke Lingga dan rasanya tidak ada masalah, sebab calon yang sama, Simoi Peri bertanding. Mula-mula memanglah ada sedikit masalah, tapi sekarang semua sudah kembali seperti biasa.
Pilihan raya kali ini di katakan paling sukar Datuk?Tidak juga, ia persepsi semata-mata. Mereka rasa apabila ramai calon, timbul sangkaan ada yang tak kena di Sarawak dari segi proses demokrasi. Tapi bagi saya kalau kita sudah mentadbir negeri ini dengan baik, seperti dalam kes saya, saya sudah berdepan pembangkang sejak 1981 dan sudah berdepan PKR tiga kali, kali ini mereka letak Ketua Angkatan Muda Keadilan melawan saya. Saya tak nak bongkak, orang boleh membezakan antara BN dan pembangkang serta apa yang rakyat mahu.
Pada akhirnya rakyat yang perlukan bantuan, mahu negeri harmoni dan boleh teruskan kehidupan seperti biasa baik dari segi ekonomi, mahupun sosial.
Kita sekarang nak menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, maknanya kita mesti ada program bagaimana nak capai itu. Sarawak mempunyai sumber begitu banyak, apa yang kita kurang hanya teknologi dan tenaga kerja yang boleh meneruskan usaha pembangunan tinggi. Ini pengalaman saya dan melihat kita mempunyai potensi seperti negara Scandinavia – Finland, Norway dan Denmark – negara kecil, tapi berpendapatan tinggi dan ada sumber sedikit, tapi teknologi tinggi. Kita mempunyai potensi dengan kelebihan ada sumber, jadi saya rasa rakyat Sarawak melihat dari sudut begitu.
Persaingan kali ini agak sengit dengan ramai calon, sejauh mana kemampuan BN untuk mengulangi kejayaan pada pilihan raya kali ini?Kalau kita lihat fenomena pada pilihan raya kali ini, semua tempat ditandingi. Selalunya pada pilihan raya sebelum ini, ada tempat BN menang tanpa bertanding. Kali ini ada pertarungan terus, ada tiga penjuru, ada lebih daripada itu. Ini bermakna proses demokrasi berjalan baik di Sarawak dan rakyat diberi peluang, mereka yang boleh mentadbir dan seterusnya memerintah.
Perkara kedua, walaupun ada pakatan dalam pembangkang, inti patinya tidak wujud pakatan sebenar kerana kita nampak sudah ada perpecahan antara mereka, khususnya antara parti dari Semenanjung dan Sarawak. Sudah nampak tidak ada hala tuju khusus antara Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan pakatan pembangkang.
Ini membuatkan satu polarisasi, maknanya saya rasa rakyat Sarawak akan melihat hanya mereka boleh mentadbir negeri ini lebih-lebih lagi ada perbezaan antara pembangkang. Kita pula ada hubungan istimewa antara Pusat dan negeri. Walaupun kita PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), iaitu parti tempatan, tapi kita ada hubung kait begitu rapat dengan pemimpin di Semenanjung. Ini berbeza kita dengan pakatan. Umpamanya saya mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Pusat kerana sudah lama dalam rangka BN sejak muda hingga ke hari ini. Kita dapat bekerjasama dengan Pusat, inilah perbezaannya.
Oleh itu, pilihan raya kali ini walaupun pembangkang lebih tersusun dan teratur berbanding pilihan raya lalu, saya rasa rakyat Sarawak boleh bezakan antara ketidakmampuan pembangkang dan kelebihan BN.