Harga MSM terus mengukuh James membuat pembentangan pada Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik 2013 di Hotel Shangri-La, semalam.
Dijangka meningkat RM2,625 pertengahan tahun

Kuala Lumpur: Harga minyak sawit mentah (MSM) bersedia mengukuh ke paras RM2,600 hingga RM2,700 satu tan menjelang pertengahan 2013 ini sejajar penurunan secara beransur stok komoditi itu dalam tempoh beberapa bulan ini, demikian mengikut penganalisis terkenal minyak dan lemak sayuran antarabangsa.

Ia berdasarkan musim pengeluaran yang rendah dalam beberapa bulan ini, selain peningkatan eksport MSM ke negara pengguna utamanya, terutama China dan India.
Pengerusi firma perunding perniagaan pertanian antarabangsa, LMC International Ltd, Dr James Fry, berkata harga MSM dijangka meningkat ke paras antara RM2,625 dan RM2,775 satu tan dalam beberapa ini jika harga minyak mentah Brent terus menerus lemah.


Bersandarkan kepada beberapa faktor semasa, termasuk kekurangan bekalan, harga MSM dijangka meningkat ke paras RM2,625 satu tan menjelang pertengahan tahun ini. Ia akan diperkukuhkan lagi jika harga minyak mentah Brent terus berada pada paras sekitar AS$105 setong, katanya dalam pembentangan pada Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Harga minyak Brent jatuh

Harga minyak mentah Brent digunakan untuk menetapkan harga minyak luar yang diimport kilang penapis di Amerika Syarikat (AS), jatuh 24 sen kepada AS$ 111,37 setong, semalam.

Fry juga berkata, stok minyak sawit Malaysia dijangka turun di bawah paras 1.8 juta tan menjelang Jun atau Julai ini susulan peningkatan eksport dan pelaksanaan beberapa langkah khusus dalam mengurangkannya, termasuk program penggunaan bahan bakar B10.
Menjelang Jun atau Julai ini, stok MSM Malaysia harus turun kepada 1.8 juta tan atau 1.9 juta tan, katanya.

Sehingga akhir Januari lalu, stok simpanan MSM tempatan berada pada paras 2.58 juta tan berbanding 2.63 juta tan pada Disember 2012.


Penganalisis komoditi yang berpangkalan di Singapura, Gnanasekar Thiagaran turut senada dengan Fry. Beliau mengunjurkan harga MSM boleh mengukuh hingga ke paras RM2,700 satu tan dalam tempoh tujuh bulan ini.

Kami menjangkakan perkembangan makroekonomi di Asia akan menjadi pendorong kepada peningkatan permintaan terhadap MSM, katanya yang juga Ahli Lembaga Penasihat Kaleesuwari Intercontinental Singapore Pte Ltd.

Dorong peningkatan MSM

Dorab Mistry, Pengarah Godrej International Ltd, India, iaitu syarikat yang terbabit dalam pengeluaran pelbagai bahan asas makanan dan industri terkemuka dunia, pula mengunjurkan, dalam jangka sederhana, iaitu antara Mac hingga April ini, harga MSM dijangka bergerak ke paras RM2,300 hingga RM2,500 setan.

Ramalan peningkatan pengeluaran kacang soya dari Amerika Selatan yang dianggarkan berkembang lebih 20 peratus tahun ini, mungkin boleh menolak turun harga MSM kembali ke paras RM2,200 satu tan selepas April ini.

Harga MSM, selanjutnya mungkin boleh merosot lagi pada Julai hingga Ogos ini berikutan musim pengeluaran minyak sawit. Namun, dijangkakan ia (harga MSM) tidak akan jatuh di bawah paras RM1,800, melainkan jika harga minyak mentah Brent jatuh di bawah paras AS$80 setong, katanya.