Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya yang gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF baru-baru ini akan dirombak bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beberapa pemain yang tidak mempamerkan prestasi terbaik akan digugurkan, manakala pemain yang diketepikan akibat kecederaan akan dipanggil semula.
“Skuad kebangsaan perlu diperkuatkan bagi mengharungi pusingan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 yang turut membabitkan Qatar, Bahrain dan Yaman bermula Februari depan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Skuad kendalian Datuk K Rajagobal gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF apabila tunduk kepada Thailand 3-1 secara agregat pada separuh akhir.

Pertahan Rajagobal

Dalam pada itu, Subahan tetap dengan pendirian bahawa Rajagobal akan terus melatih skuad Harimau Malaya bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia kerana kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan itu masih berbaki setahun hingga Disember 2013.

Dia berkata, setakat ini tiada mesyuarat dipanggil bagi membincangkan kedudukan pengendali berusia 56 tahun itu.
Subahan berkata, dia sudah menyerahkan laporan terperinci mengenai prestasi pasukan kebangsaan dan terserah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah bagi menentukan kedudukan Rajagobal.

“Pengkritik tidak harus menyalahkan Rajagobal atas prestasi skuad Harimau Malaya yang kurang menyerlah kerana jurulatih itu sebelum ini sudah banyak membangunkan bola sepak tanah air,” katanya. - BERNAMA