Nasional

Hentikan provokasi berbaur perkauman

Pelbagai tohmahan di laman sosial boleh gugat perpaduan

Kuala Lumpur: Provokasi berbentuk perkauman yang berleluasa dalam laman sosial selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) perlu dihentikan segera kerana ia boleh menggugat perpaduan negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata provokasi boleh menghancurkan keharmonian kaum dan integrasi nasional yang wujud sekian lama, sekali gus perlu ditangani dengan bijak dan berhati-hati oleh semua pihak.
“Tanpa toleransi antara kaum, sukar untuk negara mencapai sasaran menjadi maju pada 2020. Saya harap kita tidak bangkitkan perkara menggugat perpaduan kaum kerana ini akan menjadi masalah kepada keselamatan. Kita perlu iktiraf setiap ahli masyarakat yang hidup bersama dalam satu negara.


Bersama membina negara

“Tidak kira Melayu, Cina, India atau Kadazandusun di Sabah dan Iban di Sarawak, kita bersama membina negara ini. Orang Melayu pun tidak ada negara lain lagi,” katanya selepas Persidangan Meja Bulat Politik dan Kerajaan Malaysia Pasca PRU-13 anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) di PWTC, semalam.

Provokasi berbentuk perkauman banyak dikesan dalam laman sosial kebelakangan ini berikutan keputusan PRU-13 yang menunjukkan trend majoriti masyarakat Cina mengundi pakatan pembangkang.

Mengenai PRU-13, Musa berkata, suasana kali ini pada keseluruhannya lebih tegang berbanding PRU-12 pada 2008.
“Ada bom meletuplah, macam-macam letupan. Itu yang saya takut, janganlah lakukan perkara yang boleh rosakkan keselamatan dan perpaduan kaum,” katanya merujuk kes letupan kecil termasuk ketika ceramah berhampiran Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal, Pulau Pinang, 23 April lalu.

Tidak menyebelahi mana-mana pihak

Musa juga mengulangi penafian menjadi penasihat tidak rasmi kepada majlis penasihat keselamatan pakatan pembangkang seperti heboh diperkatakan di media sosial milik pembangkang baru-baru ini, sebaliknya menegaskan beliau tidak memihak kepada mana-mana parti, namun sedia memberi nasihat keselamatan jika diminta demi keamanan negara.

Beliau turut menasihatkan mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-13 supaya menggunakan saluran yang betul, iaitu memfailkan petisyen di mahkamah.

“Isu pengundi hantu (contohnya) sudah banyak kali dibangkitkan setiap kali pilihan raya, (tetapi) lepas itu tiada bukti yang menunjukkan ada pengundi hantu,” katanya.

CARIAN

BH LIVE

Twitter

Facebook