Hiasan dinding kaligrafi 3D BH Online

Hiasan dinding kaligrafi 3D

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
2010/07/11

Jauhari perkenal hiasan khat unik gabung kontemporari, klasik

HIASAN dinding mengubah penampilan hambar ruang kepada suasana lebih menyeronokkan, hidup selain menyuntik karektor dan estetika. Malangnya, kebanyakan orang tidak nampak kepentingan menyediakan hiasan dinding sebaliknya memfokuskan perhatian kepada memilih langsir, cat dinding, perabot dan sebagainya.

Hakikatnya, dinding tidak dianggap sebagai latar belakang ruang semata sekiranya diberi sentuhan ilham menggambarkan imaginasi, kreativiti di samping sisipan karektor peribadi.

Bagi mereka bersikap terbuka dalam memilih hiasan iaitu menyenangi gabungan gaya kontemporari dan klasik, penjual dan pengedar hiasan dinding unik, Jauhari berupaya memenuhi cita rasa menerusi hiasan dinding tulisan kaligrafi tiga dimensi, panel ukiran tebuk dan pelbagai motif aluminium.

Pengurus Cawangan Shah Alamnya, Khairul Hisham Wan Mohamed Azudin berkata, tulisan kaligrafi timbul diperbuat daripada logam kini menjadi buruan pelanggan. Kebanyakannya mengutarakan kalimah ayat lengkap namun ditawarkan juga tulisan ayat berbentuk geometri dan misteri.

“Tulisan khat motif geometri sesuai untuk hiasan pejabat dan kediaman gaya kontemporari. Selain warna emas dan perak, logam turut dicat coklat gelap bagi mendapatkan imej dan aura kayu. Nampak hidup dan semula jadi hinggakan sekali pandang tiada menyangka ia sebenarnya logam dan bukan kayu,” katanya.

Menyentuh panel ukir tebuk, kata Khairul Hisham, majoriti perhiasan mengemukakan corak dan motif alam khasnya spesis pokok serta bunga tradisional seperti bunga cina, ketumbit, pokok kangkung, bayam praksi, ketam guri dan sebagainya. Sebahagian ukiran sengaja tidak disertakan sempadan tepi simbolik kepada kebebasan berkarya dan kepelbagaian cita rasa.

“Meskipun motif mengekalkan alam semula jadi namun cara penyediaannya diberi nafas baru. Hiasan ukiran kayu di tempatkan di kawasan tengah bingkai tanpa sempadan tepi. Hasilnya jauh lebih menarik kerana ukiran dilihat seolah terapung,” katanya yang turut menawarkan produk ukiran kayu motif wau bulan berlatar belakangkan tikar mengkuang di kedainya.

Menurut Khairul Hisham, rekaan berkenaan masih di peringkat percubaan bagi khusus menguji kecenderungan cita rasa dan minat pelanggannya.

Sementara, bagi perhiasan aluminium, Jauhari lebih memfokuskan kepada kehendak serta permintaan pelanggan. Tempahan diambil merujuk rekaan serta sebarang objek ditunjukkan pelanggan.

“Selain beberapa rekaan diilhamkan Jauhari termasuk yang terbaru, motif wau bulan, kami turut menerima tempahan daripada individu yang inginkan aluminium berkenaan ditempa bentuk bangunan, pemandangan dan sebagainya. Sementara, bagi bingkainya, selain kayu asli, pelanggan boleh memilih bingkai bersadur perak yang menampilkan gaya futuristik,” ujarnya sambil memberitahu Jauhari juga menawarkan khidmat penghantaran dan pemasangan buat pelanggannya.

Semua barangan serta aksesori rumah dijual dengan harga serendah RM150 hingga mencecah RM5000. Selain Shah Alam, Jauhari mempunyai dua lagi cawangan di Bandar Baru Bangi dan Plaza Masalam. Selain berkunjung sendiri ke ruang pamerannya, sebarang keterangan lengkap produk bersama harga boleh diperoleh dengan melayari laman web www.jauhari,com.my.