Hias balkoni BH Online

Hias balkoni

Oleh ABUBAKR AS-SIDDIQ
abubakar.md@gmail.com
2012/02/19

Susun pokok ikut hierarki dalam kekotak tingkap, pasu gantung

BERTEMU kembali. Bagi pembaca yang menghuni rumah pangsa, apartmen, kondominium dan seumpamanya, aspek ruang mungkin menjadi faktor utama yang menghalang impian membina sebuah taman.

Sebenarnya, jika bijak memanfaatkan ruang yang ada di kediaman terutama ruang balkoni, mungkin sedikit daripada impian itu dapat dicapai.

Bagi mereka yang sudah mempunyai taman serba lengkap di depan kediaman, apa kata suasana sama di bawa ke ruang balkoni rumah pula.

Sehubungan itu, pada minggu ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca mengenai bagaimana membina sebuah taman mini di ruang balkoni.

Penyediaan Tempat : Khaskan satu ruang di balkoni seperti di penjuru atau sudutnya untuk dihias dengan pelbagai tanaman hiasan dan aksesori taman yang lain.

Idea pameran: Tanaman hiasan boleh ditanam secara solo dalam pasu dan disusun menjadi satu taman mini. Sebagai alternatif beberapa pokok yang dipilih boleh juga dipamerkan dalam kekotak tingkap (window box) atau ditanam dalam pasu besar disusun menjadi satu gubahan menarik.


INFO

Kaedah Susunan Pokok: Sebagai contoh dicadangkan susunan pokok dalam taman mini adalah seperti berikut:

1. Pokok yang paling tinggi diletakkan di belakang.

2. Pokok yang rendah pula diletakkan di hadapan, di kiri dan kanan pokok tinggi tadi.

3. Tanam pula pokok yang paling rendah atau pokok menjalar di hadapan sekali. Kaedah susunan begini membolehkan setiap pokok dapat dilihat dan tidak terlindung di antara satu dengan yang lain selain tampak lebih kemas dan menarik.

3. Gantung pokok hiasan yang ditanam dalam pasu atau raga gantung bagi menjimatkan ruang pameran terutama jika kawasan itu terlalu sempit. Namun, jika ruang berkenaan agak luas, gunakan trellis atau para-para untuk pokok menjalar atau pergola bagi menggantung lebih banyak pokok gantung.
Contoh pokok yang sesuai digantung adalah seperti pokok episcia, pokok gincu, pokok cendol dan pelbagai pokok paku pakis seperti paku tanduk rusa dan paku langsuyar.

Penjagaan:

Bagi memastikan pokok yang dipamerkan di ruang ini tumbuh subur, ia perlu diberi penjagaan seperti berikut:

1. Menyiram dan menyembur air di bahagian daun terutama pada hari panas supaya kelihatan subur.

2. Membaja menggunakan baja organik atau baja kimia. Pastikan diikuti arahan mengenai cara dan kekerapan pembajaan seperti tertera di pek baja yang digunakan.

3. Memangkas ranting mati.

4. Pokok perlu juga didedahkan kepada cahaya matahari sekerap mungkin atau ditukar ganti setiap minggu dengan pokok yang baru supaya ia kelihatan subur dan menarik sentiasa.

Elemen Hiasan:

Elemen lain yang boleh digunakan sebagai hiasan termasuklah:
1. Set air terjun mini, tempayan antik serta pasu cantik dan unik bentuknya.

2. Batu batu kecil pelbagai saiz juga boleh digunakan untuk kelihatan semula jadi.

3. Perabot taman seperti kerusi kayu boleh juga diletakkan bertujuan memudahkan ahli keluarga duduk bersantai.

4. Pasangkan lampu bagi menerangi ruang ini pada waktu malam.

Kesan bunyi air terjun, sinaran cahaya lampu dan pameran pelbagai tanaman yang menghijau memberi impak kepada suasana di balkoni kediaman anda terutama pada waktu malam.

Mungkin kehadiran taman mini di balkoni kediaman anda ini akan memberi inspirasi kepada jiran atau pengunjung yang bertandang ke kediaman anda untuk membinanya juga di kediaman mereka pula.

Selamat menghias ruang balkoni kediaman anda!

Tip:

1. Jika ruang balkoni anda banyak disinari cahaya matahari, ia boleh dihiasi dengan pelbagai tanaman hiasan berbunga yang memang sesuai tumbuh.

2. Jika kawasan terdedah kepada sinaran cahaya matahari yang terlalu terik boleh dilindungi dengan menggunakan jaring hijau atau hitam supaya tanaman anda tidak mudah melecur dan mati kekeringan.

3. Ruang yang teduh pula hanya sesuai ditanam dengan pokok berdaun saja seperti pokok dari genus aglaonema, dracaena, syngonium, epipremnum dan sansevieria.

Namun, jika ruang berkenaan ingin juga dihiasi dengan pokok berbunga dicadang anda menanamnya dalam pasu atau bekas tanaman lain supaya ia boleh diubah untuk didedahkan kepada cahaya matahari apabila perlu.