BIARPUN lebih sebulan bapa kesayangan pergi menyahut seruan Ilahi, Fouziah atau nama penuhnya, Nor Fouziah Mohd Gous, 30, mengakui belum dapat memberi tumpuan kepada kerjaya lakonan.
Gadis kacukan Melayu-Pakistan-Cina ini ternyata serba salah kerana masih belum dapat memberi penghayatan 100 peratus dalam watak dilakonkan.
Tidak beraya
“Kira-kira 20 hari saya tidak bekerja dan menangguh segala tawaran lakonan sementara waktu. Bukan itu saja, saya langsung tidak beraya kerana banyak menghabiskan masa di rumah.
“Sepanjang tempoh itu, saya banyak menangguhkan kerja. Baru sekarang saya berani tampil di khalayak ramai. Itu pun, saya hanya berlakon telefilem kerana sudah berjanji dengan penerbit,” katanya.
Fouziah berkata, dia bersyukur penerbit dan syarikat produksi memahami situasi dirinya, namun sebagai pelakon dia masih perlu melunaskan tanggungjawab diamanahkan.
“Saya mengaku saya masih ‘kabur’ sekarang, tapi saya akan cuba fokus untuk kembali ke landasan sebetulnya,” katanya yang akan muncul dalam drama bersiri seram, Dendam Sarakit yang akan disiarkan setiap Khamis jam 10 malam, mulai minggu depan.
Berkampung di Betong
Tidak lelah melakonkan watak seram, Fouziah yang menghidupkan watak Sarakit dalam drama bersiri Dendam Sarakit mengakui seronok berkampung lebih sebulan lebih di Betong, Thailand bagi pembikinan drama 13 episod itu.
“Tiada gangguan pelik selama saya berkampung di Betong, cuma ada kena kacau secara ringan saja. Perkara merepek belum lagi pernah saya lalui sepanjang menghidupkan watak seram. Bukan nak kata saya tidak serik, tapi ia adalah amanah sebagai pelakon dan saya akan cuba hidupkan sebaik mungkin,” katanya ditemui pada sidang media drama bersiri Dendam Sarakit di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
Fouziah mengakui cabaran ditempuhinya dalam menghidupkan watak wanita Thailand dengan lenggok percakapan tersendiri.
“Berganding pula dengan abang Zain Hamid buat kali pertama, semestinya sebuah pengalaman yang berbeza, apatah lagi saya tidak pernah ke luar negara untuk berlakon lebih daripada sebulan,” katanya.
Sementara itu, Fouziah yang baru pulang dari Maghribi menjayakan dua telefilem iaitu Jauh dan Siapa Di Hatimu. Berganding dengan Adiputra untuk telefilem Jauh arahan Bade Azmi, akan kembali dengan drama bersiri popularnya, Trilogi Cinta musim kedua mulai 6 September lalu.