Hari penamaan calon pada 20 April lalu, berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni. Sekarang sudah memasuki tempoh berkempen. Setiap kali pilihan raya, tempoh berkempen adalah masa yang begitu genting. Inilah tempoh yang perlu digunakan sebaik mungkin kerana ia berupaya mempengaruhi keputusan undi.

Menyedari hakikat itulah, jentera parti perlu menggunakan tempoh ini sebaik mungkin bagi tujuan mempromosi parti dan juga calon.
Mengenai jangka masa, tempoh berkempen ini tidak diperincikan oleh undang-undang. Tiada penyataan dalam mana-mana undang-undang berkaitan jangka masa berkempen.

Apa yang jelas melalui seksyen 2 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tempoh berkempen bermula sebaik saja pegawai pengurus pilihan raya mengisytiharkan suatu pengundian akan dilangsungkan dan tempoh itu akan berakhir apabila tamat hari sebelum hari mengundi. Ini bermakna, tempoh berkempen ialah tempoh antara pengisytiharan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah berlaku penamaan calon dan berterusan sehingga malam mengundi, iaitu jam 12 tengah malam sebelum hari mengundi.

Kesannya di sini, kita tidak mempunyai jangka masa tetap untuk berkempen. Jangka masa itu berbeza setiap kali pilihan raya kerana sepenuhnya bergantung kepada SPR. Masa berkempen paling pendek dalam sejarah pilihan raya negara kita ialah enam hari. Mungkin baik dicadangkan supaya jumlah hari dalam tempoh berkempen ditentukan undang-undang.

Kempen sejak 2008

Bagi pilihan raya kali ini, kita mempunyai 15 hari untuk berkempen walaupun pada pengamatan penulis, masa berkempen telah secara tidak rasmi bermula lama sebelum itu. Bahkan kempen politik tidak berhenti-henti sejak 2008 lagi yang mana kita lihat simbol parti seperti bendera serta ceramah politik berterusan dianjurkan.
Dalam tempoh berkempen, penyokong dan pimpinan parti politik berhempas pulas untuk memenangi dan meyakinkan hati pengundi. Bermula dengan perkara ekonomi, kempen politik berterusan sehingga perkara sosial seperti perkauman dan juga peribadi hal ini diketengahkan dalam kempen pilihan raya.

Ketika tempoh berkempen itu pihak terbabit boleh mengadakan kempen dengan menganjurkan perjumpaan awam, hiburan awam atau memberi ucapan secara terbuka dengan mendapatkan permit daripada polis.

Pihak berkempen juga dalam tempoh ini boleh mempamer atau mengedarkan bahan kempen seperti iklan, risalah, brosur, bendera, panji-panji, sepanduk, tetunggul, poster, pelekat, surat sebaran, label atau apa juga bentuk papan iklan. Walaupun begitu pihak ini masih lagi terikat dengan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Jaga keselamatan

Semua gerakan kempen ini tidak boleh dilakukan dalam jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi.

Oleh sebab kebebasan berkempen itu agak luas, kita tidak boleh memandang remeh soal keselamatan. Kita memerlukan undang-undang dan penguatkuasaannya kerana bimbang keghairahan pihak berkempen mungkin terlalai dalam emosi politik mereka sehingga melakukan provokasi melampau.

Sebagai langkah menjaga keselamatan, undang-undang menggariskan perkara tertentu. Antara yang jelas ialah, Seksyen 4a Akta Kesalahan Pilihan Raya yang antara lain menjenayahkan perbuatan mengembangkan perasaan jahat, perasaan tidak puas hati, atau permusuhan antara kaum berbeza atau kaum yang sama. Sekiranya seseorang itu didapati menyalahi atau disabitkan menurut seksyen ini, dia boleh dihukum penjara selama lima tahun atau didenda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya.

Seperti yang kita bimbangi, pengembangan perasaan benci atau permusuhan sangat mudah tercetus dalam bahang pilihan raya. Walaupun kita mempunyai undang-undang berkaitan, pihak yang benar-benar memainkan peranan menjaga integriti pilihan raya ialah rakyat keseluruhannya. Ia bukan hanya tanggungjawab pihak polis atau SPR semata-mata.

Pada pilihan raya kali ini kita mempunyai pemerhati luar negara yang datang untuk meninjau proses demokrasi kita. Maka kita semua harus menjaga nama baik negara dengan menghormati etika dan garis panduan yang telah disediakan pihak berwajib serta menjaga integriti diri, parti dan negara.