KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mengalami masalah perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu perkhidmatan KTM Komuter, ETS, KTM Intercity dan KTM Kargo diminta terus menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 1-300-88-5862.

Unit Komunikasi Korporat KTMB dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, kerja membaik pulih landasan dan struktur akibat limpahan air hujan yang berpunca daripada hujan lebat di antara stesen Sungai Buloh dan Rawang di Kilometer 366.523 pada Rabu lalu akan dapat disiapkan pada jam 6 pagi esok.
"KTM Berhad memohon maaf atas kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh pengguna perkhidmatan kami disebabkan keadaan cuaca yang luar biasa," katanya.

KTMB terpaksa menjadualkan semua perkhidmatan empat tren tersebut akibat kejadian tersebut.

Antara perkhidmatan tren Antara Bandar yang terjejas dan dijadualkan semula ialah Ekspres Senandung Mutiara (No.23, Butterworth-Tanjung Malim); perkhidmatan Ekspres Sinaran Utara (No.10 Tanjung Malim-Butterworth) dan Perkhidmatan Ekspres Sinaran Utara (No.11 Butterworth-Tanjung Malim).

Turut terjejas ialah Perkhidmatan Ekspress Senandung Mutiara (No.22 Tanjung Malim-Butterworth); Perkhidmatan Ekspress Rakyat (No. 2 Singapura-KL Sentral, Tanjung Malim-Butterworth); Ekspress Rakyat (No. 1 Butterworth-Tanjung Malim, KL Sentral-Singapura); Ekspress Senandung Langkawi (No.21 Hat Yai-Ipoh) dan Ekspress Senandung Langkawi (No.20 Ipoh-Hat Yai).

Perkhidmatan ETS turut dijadual semula perjalanannya melibatkan semua perkhidmatan ETS dari Ipoh ke KL Sentral atau Seremban yang ditamatkan di Rawang. - BERNAMA