Ibu, bapa tiri direman Suspek kes dera anak ditahan reman bagi membantu siasatan di Mahkamah Kuala Terengganu, semalam.
Kuala Terengganu: Dua suspek kes dera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun iaitu bapa tiri dan ibunya direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten K Manoharan, berkata mahkamah membenarkan polis menahan reman kedua-dua suspek dari Kampung Tanjung dan positif dadah jenis Methapetamine itu sehingga 29 Jun ini.
Ambil keterangan keluarga

Beliau berkata, polis juga mengambil keterangan daripada keluarga, saudara dan jiran mangsa bagi mendapatkan gambaran keseluruhan berhubung siasatan kes.

Kini siasatan masih di peringkat awal dan pegawai kita sudah melakukan rakaman percakapan dengan keluarga, saudara mara dan jiran mereka bagi membantu siasatan.

Tempoh reman empat hari bermula semalam dan akan disambung jika perlu, katanya ketika dihubungi, semalam.

Rawatan rapi
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman, berkata kanak-kanak itu masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSNZ kerana memerlukan perhatian rapi.

Mangsa diletakkan di ICU bukan kerana dia memerlukan rawatan seperti bantuan pernafasan tetapi kerana dia memerlukan perhatian dan rawatan rapi akibat kesan kecederaan yang teruk, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak tujuh tahun bukan saja dikurung dan tidak diberi makan dan minum, tetapi cedera parah di seluruh badan di Perumahan Kampung Gong Badak sebelum diselamatkan jirannya yang menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Susulan kejadian, polis menahan dua suspek iaitu ibu dan bapa tiri mangsa yang cuba melarikan diri dengan membawa isteri dan dua lagi anak mereka yang dipercayai turut menjadi mangsa dera selepas menyedari perbuatan jahatnya terbongkar.