Ibu, bayi lima bulan ditawan perompak
Kepala Batas: Seorang ibu bersama bayi lelakinya berusia lima bulan berhadapan detik cemas apabila ditawan perompak selama 10 minit yang melarikan kereta mereka, di sini kelmarin.
Kejadian berhampiran simpang keluar Kompleks Dato Kailan, kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika Nurul Izzah Khalid, 26, bersama anaknya, Muhammad Qayyum Musyrif berada di dalam kereta menunggu suami, Musyrif Abu Bakar, 29, membeli ubat di farmasi berhampiran.
Tak sempat kunci kereta
Nurul Izzah berkata, dia hendak menekan punat untuk mengunci kereta sebaik suaminya keluar dari kenderaan, tetapi seorang lelaki bertopi tiba-tiba meluru masuk dan terus menekan pedal minyak.
"Saya panik kerana lelaki itu terus memecut laju dan memberitahu mahu ke Pulau Pinang. Saya ketika itu memegang telefon bimbit, terus menghubungi suami, tetapi dimarahi lelaki terbabit yang meminta saya menyerahkan telefon berkenaan. Bila saya enggan, dia tarik tangan anak dan mengugut mahu bunuh kami," katanya.
Masih trauma dengan kejadian itu, Nurul Izzah yang juga adik Ketua Biro BERNAMA Perak, Muna Khalid, berkata dalam keadaan cemas, dia merayu lelaki berbadan kurus dan berusia lingkungan 20-an itu melepaskan mereka sebelum suspek memberhentikan kereta di tengah jalan, menolak mereka dan terus memecut.
Sementara itu, Musyrif dibantu orang ramai mencari Nurul Izzah dan Qayyum sebelum menjumpai mereka, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, bersyukur isteri dan anaknya selamat.
Ada rakan memberitahu ternampak kereta itu di sekitar Sungai Dua, kira-kira jam 6 petang berkenaan, namun sehingga kini masih belum ditemui. Kejadian ini memberi pengajaran kepada kami supaya lebih berhati-hati, katanya.