Ikhlas bantu kaum India Najib melancarkan buku Tamil terbitan Yayasan Sakti di Dewan Tunku Canselor UM, Kuala Lumpur, malam tadi sambil diperhatikan Thananthiran (dua dari kiri) dan Rajantheran (kanan).
Kuala Lumpur: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membela kepentingan setiap kaum dengan perancangan untuk membawa negara ke peringkat lebih tinggi, kata Datuk Seri Najib Razak.

Berikutan itu, Perdana Menteri meminta masyarakat India tidak memperjudikan nasib anak cucu mereka dengan memilih pakatan pembangkang yang bercelaru ibarat ‘tidur sebantal, tapi bermimpi lain-lain’.
Beliau juga meminta kaum India menilai tempoh empat tahun pemerintahan kerajaan di bawah kepemimpinannya selaku Pengerusi BN.

Dapat menilai

“Kerajaan BN ikhlas untuk bantu semua rakyat. Kita percaya hampir empat tahun ini, tuan-tuan dapat menilai apa yang dilakukan kerajaan.

“Percayalah cuma BN dan rakan-rakannya saja, termasuk (parti) Makkal Sakti boleh membantu kaum India,” katanya ketika melancarkan buku Tamil terbitan Yayasan Sakti dengan kerjasama Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor UM di sini, malam tadi.

Hadir sama Presiden Yayasan Sakti yang juga Presiden Makkal Sakti, Datuk R S Thananthiran dan Pengarah Projek Pelancaran Buku-Buku Tamil 2012, Prof Dr M Rajantheran.
Masalah diselesaikan

Perdana Menteri berkata, pelbagai masalah kaum India, termasuk isu pemberian sijil kelahiran dan kad pengenalan, dapat diselesai menerusi pendekatan baru kerajaan untuk turun padang dan berhubung terus kepada masyarakat.

Katanya, peruntukan bagi kaum India juga meningkat dengan ketara malah kerajaan menyediakan dana RM100 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil pada tahun depan selepas memperuntukkan RM300 juta bagi tempoh empat tahun bermula 2009.