Ikrar kerat tangan pengebom Tentera menentang keputusan Bashar di Azzaz pada 17 Julai lalu.
Tentera Syria bertindak balas atas kematian menteri

DAMSYIK: Presiden Bashar al Assad melantik Jeneral Fahd al-Jassem al-Freij menggantikan Menteri Pertahanan, Daoud Rajha, yang maut bersama tiga lagi pegawai atasan tentera dalam serangan bom pagi kelmarin di ibu pejabat pasukan Keselamatan Negara.
Sementara itu, beberapa letupan dilaporkan kedengaran berhampiran pangkalan unit keempat tentera di ibu kota Syria itu yang bertanggungjawab mengawal istana presiden dan diketuai saudara lelaki presiden, Maher al Assad.

Dalam tindak balas kepada letupan di ibu pejabat Keselamatan Negara, rejim Syria berjanji akan menghukum pihak bertanggungjawab dan memotong tangan mereka yang mengancam keselamatan negara.

Kenyataan tentera dibacakan di televisyen, memperincikan tentera berazam menghapuskan penjenayah, kumpulan pembunuh dan menghukum mereka ke mana saja mereka pergi.

“Tindakan pengganas meningkatkan keazaman tentera untuk membebaskan negara daripada kumpulan pengganas,” kata tentera rejim dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, pertempuran antara pemberontak dan tentera berterusan di Damsyik yang kawasan berhampirannya diserang tentera rejim menyebabkan 60 askar maut sejak Isnin lalu.
“Antara 40 dan 50 tentera Syria maut Isnin lalu dalam pertempuran di Damsyik.

“Sekurang-kurangnya 20 lagi dilaporkan terbunuh Selasa lalu,” kata Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria (SOHR), Rami Abdel Rahman.

Asap tebal juga dapat dilihat di beberapa lokasi di ibu negara, dan menyaksikan kesesakan berkurangan berbanding biasa.

Pertempuran Damsyik menghampiri garis penamat dan ibu negara menjadi kubur penyerang, menurut tajuk utama akhbar al-Watan, yang dilaporkan rapat dengan rejim.

Di bandar Jdaidet Artouz yang ketiadaan bekalan elektrik kerana diputuskan, letupan kedengaran diiringi tembakan. Bandar Zabadani juga diserang, kata sumber pembangkang.