Industri francais diunjur hasilkan RM24 bilion KDNK Ismail Sabri (dua dari kanan) bersama Abdul Malik (kanan) melancarkan Pameran FIM 2013 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Sumbangan industri francais kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disasarkan meningkat kepada lebih RM24 bilion tahun ini, berbanding RM23.6 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia didorong oleh pertumbuhan memberangsangkan industri itu dalam suku pertama tahun ini serta bidang perniagaan francais mikro yang kini semakin mendapat permintaan.
Katanya, sasaran itu juga dijangka direalisasikan melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012-2016 yang menetapkan hala tuju strategik membangunkan industri itu supaya ia berdaya saing serta memanfaatkan penggiat industri francais.


“Kerajaan akan berterusan melaksanakan pelbagai pendekatan dan inisiatif dalam membangunkan industri francais tempatan. Pada masa ini, kita juga dapat melihat industri francais bukan saja disertai oleh syarikat besar, tetapi juga perniagaan berskala kecil dengan modal lebih rendah.

“Berdasarkan kerancakan industri francais pada masa ini, kami yakin perniagaan mikro francais juga mampu membantu dan meningkatkan industri francais secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2013) di Kuala Lumpur, semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Malik Abdullah dan Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Ismail Sabri berkata, kerajaan menerusi PNS telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta di bawah Skim Pembiayaan Francais Mikro bagi menggalakkan usahawan terutama di kawasan bandar kecil dan luar bandar membabitkan diri dalam perniagaan francais dengan modal di bawah RM50,000.
Katanya, sehingga kini kira-kira RM6 juta daripada peruntukan itu sudah disalurkan kepada 221 usahawan francaisi.

Kerajaan juga, katanya telah merangka pelbagai program pembangunan francais tahun ini seperti Jelajah Francais 1 Malaysia, Francais Komuniti dan Stesen Francais 1 Malaysia bagi membantu mempromosikan industri itu kepada orang ramai.

Mengenai FIM 2013 yang akan diadakan selama tiga hari bermula 20 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ismail Sabri berkata, sebanyak RM370 juta transaksi jualan francais disasarkan pada pameran kali ini daripada RM352 juta dicatatkan sebelumnya.

Beliau berkata, pameran itu dijangka disertai oleh 130 pempamer dan menarik lebih 11,000 pengunjung ke pameran francais yang masuk tahun ke-20 penganjurannya.

Tahun lalu, FIM 2012 telah disertai 115 pempamer dan dihadiri oleh lebih 10,000 pengunjung.

Katanya, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada dua mesyuarat utama badan induk francais antarabangsa iaitu mesyuarat World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Condeferation (APFC) serentak dengan FIM 2013.