Abbasi dakwa ada pihak susup ke dalam IAEA untuk gagal projek dirancang

Iran mendakwa ada pihak berusaha mensabotaj program nuklearnya selepas dua cubaan meletupkan talian elektrik yang menghubungkan kemudahan nuklear negara itu dengan sumber berkata serangan itu boleh dikaitkan dengan tentera Amerika Syarikat.

Naib Presiden Iran dan ketua agensi kuasa nuklear, Fereydoun Abbasi, mendakwa talian elektrik di bandar raya Qom dan kemudahan nuklear bawah tanah Fordow dan yang lain-lain menuju ke loji di Natanz diletupkan Ogos lalu, lapor akhbar Daily Mail.
“Pengganas dan kumpulan pensabotaj mungkin menyusup masuk ke dalam IAEA dalam usaha menggagalkan program atom negara ini,” katanya.

Loji di Fordow terletak 60 kilometer ke selatan Tehran dibina jauh di dalam gunung untuk melindunginya daripada serangan.

Penguraian uranium

Ia juga digunakan untuk proses penguraian uranium lebih hampir dengan paras diperlukan untuk membangunkan peledak nuklear berbanding yang digunakan untuk menggerakkan reaktor industri.

Abbasi berkata, sabotaj digagalkan dengan penggunaan bateri sokongan dan generator diesel yang menghalang gangguan kepada sentrifugal untuk memutar uranium kepada paras diuraikan.
Beliau juga berkata serangan berasingan ke atas sentrifugal, bertujuan menjejaskan bahagian utama mesin berkenaan, dikesan sebelum meletup.

Dakwaan itu dibuat ketika akhbar itu memetik sumber perisikan Amerika sebagai berkata, ada kemungkinan tentera Amerika mempunyai hubungan dengan serangan itu. - Agensi