Nasional
Israel bebas 12 sukarelawan kita
Oleh Norfatimah Ahmad dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2010/06/03
SUKARELAWAN Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang selepas dibebaskan Israel bersama Abdul Malek (tujuh dari kiri), dua krew Astro Awani, Shamsul Kamal Latif (lima dari kiri) dan Ashwad Ismail (tiga dari kanan) tiba di Amman, Jordan, semalam.
Aktivis terpaksa menyeberang sempadan ke Jordan sehelai sepinggang tanpa pasport
KUALA LUMPUR: Semua 12 sukarelawan Malaysia yang dibebaskan tentera Israel semalam menyeberangi sempadan negara itu ke Jordan sehelai sepinggang tanpa pasport masing-masing.
Mereka melepasi sempadan negara berkenaan jam 11.20 pagi waktu Malaysia dan berada di Amman, Jordan, sebelum dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, berkata pihaknya bekerjasama dengan kerajaan Jordan untuk menyediakan kemudahan diperlukan sebelum usaha menghantar semua rakyat Malaysia itu menjadi kenyataan.
“Sebaik tiba di Amman melalui jalan darat, mereka dibawa ke sebuah hotel, dihidangkan makanan dan ditempatkan ke bilik untuk berehat selepas beberapa hari melalui pengalaman ngeri. Mereka keletihan kerana mengalami dehidrasi. Semua mereka dalam keadaan sehelai sepinggang dan tidak mempunyai pasport,” katanya ketika dihubungi semalam.
Abdul Malek yang menyambut sukarelawan itu di Jambatan Raja Hussein, Jordan sejurus melintasi sempadan Israel turut mengiringi mereka ke Amman.
Semalam, Wisma Putra mengesahkan semua 12 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang diserang komando Israel ketika misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza disahkan selamat.
Sementara itu, Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Jordan, Wong Chia Chiann, berkata Anifah yang dijangka tiba di Amman malam tadi akan bertemu semua sukarelawan terbabit.
“Mereka kemudian akan menyertai majlis doa selamat khas yang diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas semua rakyat kita selamat dalam serangan dan dibebaskan tentera Israel,” katanya.
Wong berkata tarikh untuk perjalanan pulang belum ditetapkan.
“Kita masih menunggu maklumat dan perkembangan terkini daripada kerajaan Jordan,” katanya.
Selain itu, kenyataan Wisma Putra memaklumkan, selain bertemu mereka, Anifah ke Jordon untuk menyampaikan ucapan terima kasih secara rasmi kepada Kerajaan Jordan kerana membantu dalam rundingan membebaskan mereka.