login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Khamis , 17 April 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Dekor
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Istana bambu
Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
2010/08/15

  
  • Foto

  • Foto

    Warna kuning buluh lebih menyerlah berpadu dengan warna hitam ikatan tali ijuk.

  • Foto

  • Foto

    Selain rumah induk, tanah seluas 0.4 hektar miliknya turut menempatkan dua buah lagi rumah boleh diduduki dua gazebo, sebuah stor dan sebuah surau.

Mohd Ramadhan selesa dikelilingi perabot, rumah berteraskan buluh di Hulu Langat, Selangor

"BAMBU tidak sombong seperti pohon lain yang mengeluarkan bunga dan buah dengan angkuhnya. Sebaliknya, bambu akan menemui ajalnya apabila sombong (bambu akan mati selepas berbuah)."
Begitu dalam maksud di sebalik kata-kata dipertuturkan Mohd Ramadhan Abdul Hamid, yang turut dijadikannya benteng semangat bagi membina rumah bambu tradisional Sunda dikelilingi landskap Parahyangan di sebuah tanah terpencil di Hulu Langat, Selangor.
Mengambil inspirasi rumah pusat peranginan, Mohd Ramadhan yang turut dinobatkan pemenang Hadiah Khas Juri Pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu musim ketiga yang berakhir baru-baru ini, berkata, bukan sedikit modal serta keringat dicurahkan bagi menyiapkan kediaman idaman yang menjadikan buluh sebagai tunjang binaan membabitkan struktur, rangka, kemasan selanjutnya perabot dan aksesori.

"Saya jatuh cinta pandang pertama dengan rumah buluh sewaktu melihatnya di pameran sebuah pusat beli-belah di ibu negara. Sejak itu, saya banyak membuat penyelidikan dan menjelajah tempat yang disyorkan bagi memperkaya pengetahuan berkenaan binaan buluh itu. Boleh dikatakan, kerap juga saya berulang-alik ke Bogor, Indonesia dan meneroka kawasan sekitar gunung berapi semata-mata meninjau spesis buluh layak dibuat rumah," katanya mengenai kediaman bergelar Istana Bambu yang memulakan pembinaannya pada Ogos, 2008 di atas tapak tanah seluas seekar itu.

Bagaimanapun, bagi memastikan Istana Bambu berciri sempurna khasnya selesa diduduki, kukuh, damai dan selamat, Mohd Ramadhan mengambil keputusan menggunakan khidmat kepakaran arkitek mahir binaan seumpamanya, Undagi Jatnika Nagamirhaja.

"Dalam bahasa Sunda, undagi bermaksud arkitek tradisional, budayawan, karyawan dan ahli spiritual. Ini bermakna dalam merangka pelan binaan, bukan keteguhan struktur dan estetika seni bina saja diambil kira bahkan kediaman disediakan diwajibkan mempunyai jiwa, semangat selain diibaratkan sebagai sebuah karya seni," katanya yang memilih spesis buluh betong membentuk rumah manakala bumbung daripada genting terracota.
Ditanya keistimewaan rumahnya itu, kata Mohd Ramadhan, ketahanan adalah ciri asas buluh sehingga ia dijadikan teras binaan kebanyakan negara yang mengalami kejadian gempa bumi dan gunung berapi.

"Berbanding konkrit yang mudah pecah ketika gegaran, ciri lentur buluh menjadikannya fleksibel dan tahan gempa sehingga 8.0 skala richter. Selain itu, jangka hayatnya boleh mencecah sehingga seratus tahun bergantung kepada penjagaan dan perawatan," katanya yang sekadar menyapu barnis pada permukaan buluh berkenaan untuk dua tahun berturut-turut bagi melindunginya daripada ancaman kulat dan cuaca.

Selain ciri tahan lama, minat mendalam terhadap rumah buluh juga kata Mohd Ramadhan, disebabkan keupayaan semula jadi pokok itu memberikan kesan sejuk pada siang hari namun hangat menjelang malam. Bahkan, kerana keistimewaan itu, beliau tidak memasang alat pendingin hawa sebaliknya memadai dilengkapi kipas siling untuk kegunaan ketika ketika cuaca panas.

Begitupun, kata Ramadhan, kipas berkenaan jarang sekali digunakan berikutan suasana nyaman semula jadi diperoleh melalui angin luar yang menerobos masuk liang permukaan dinding tepus.

"Lubang-lubang halus di celah anyaman dinding membentuk pengudaraan baik. Tak perlu menghidupkan kipas, tubuh tetap segar dengan tiupan angin luar yang datang dari serata arah ruang. Nyaman dan sejuknya itu mengalahkan keseronokan berada di dalam bilik hawa dingin," ujarnya yang mengaku ralit mendengar kemerduan bunyi desiran angin berpadu dengan loceng angin dan angklung buluh gantung di birai atap.

"Kadang-kadang tidak sedar dua tiga jam lamanya bersantai di ruang yang sama. Bagi saya, muzik alam adalah terapi terbaik untuk kesihatan serta ketenangan jiwa," katanya.

Sepanjang bergelut menyiapkan istana buluhnya itu, Mohd Ramadhan mengakui pengetahuannya berkenaan sumber alam berkenaan turut bertambah. Bahkan, dia kini berupaya mengenal pasti syarat serta kriteria buluh yang layak dibuat rumah tempat tinggal.

Secara sepintas lalu, katanya, bambu berkenaan tidak boleh ditebang semasa mengeluarkan rebung dan ketika bulan mengambang. Sebaliknya, disyorkan tebang ketika musim kemarau sewaktu jam melepasi satu tengahari selain dipastikan bambu itu cukup matang iaitu berusia lima tahun ke atas.

"Sebenarnya, banyak sebab syarat ini diwujudkan antaranya, dilarang tebang ketika bulan penuh disebabkan aktiviti graviti yang menyebabkan air bertakung dalam buluh. Lebihan air dipercayai menyukarkan proses pengawetan. Digalakkan penebangan selepas tengahari kerana ketika ini air dalam buluh mulai surut. Kurang air bererti proses pengawetan berjalan lancar," jelasnya.

Namun, kata Mohd Ramadhan, bambu berkualiti dan memenuhi syarat bukan penentu keindahan serta estetika rumah buluh. Sebaliknya, perlu dijalin dengan teknik pembikinan serta prosedur pertukangan yang betul.

"Berbanding kediaman konkrit dan kayu, pembentukan struktur rumah buluh tidak memerlukan walau sebatang paku pun. Ia dibina dengan menyambungkan hujung ruas ke hujung ruas dan dikemaskan dengan ikatan tali ijuk. Pilihan tali ijuk selain bertujuan menguatkan sambungan, warna hitam semula jadinya itu tampak cantik dan menyerlah diacukan dengan warna kuning buluh," katanya sambil menegaskan rumah buluh tidak perlukan aksesori berlebihan kerana setiap kemasan bermula bumbung, dinding dan lantai sedia mempunyai estetika corak.

Begitu juga dengan perabot yang disarankan mengutarakan elemen buluh. Selain menepati konsep diketengahkan, perabot buluh juga, kata Mohd Ramadhan, lebih selesa, bernilai seni dan dekat dengan alam.

INFO: Kediaman Mohd Ramadhan

  • Gaya parahyangan (tradisional Sunda) jadi rujukan pembentukan konsep kediaman, tema tata hias.

  • Selain rumah induk, tanah seluas seekar itu menempatkan dua buah lagi rumah boleh diduduki, dua gazebo, sebuah stor dan sebuah surau.

  • Anggap kediamannya itu simbol jalinan persahabatan antara Malaysia dengan Indonesia.

  • Istana Bambu tiada siling tetapi bumbung ditunjangi tepus dan kelarai atau digelarnya bilik sebagai penahan rumah daripada roboh.

  • Mereka yang berminat dengan rumah bambu, boleh melayari blog Ramadhan iaitu www. istana-bambu-undagi.blogspot.com

  • Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

    Peta Laman

    Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
    Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

    Kembali ke atas