KUANTAN: Polis akan bertindak tegas terhadap pihak yang cuba menimbulkan kekecohan berhubung bantahan terhadap pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng.

Ketua Polis Pahang, Datuk Saifuddin Ab Ghani, berkata ketika ini polis memantau setiap program bantahan, demonstrasi atau ceramah berhubung bantahan projek kilang berkenaan.
"Saya minta mana-mana pihak supaya akur pada undang-undang dan jangan buat yang bukan-bukan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas beberapa siri bantahan, ceramah dan demontrasi pihak tertentu di sekitar Kuantan sejak kebelakangan ini berhubung projek pembinaan kilang berkenaan.

Kilang bernilai RM700 juta yang sedang diusahakan Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia, di kawasan perindustrian Gebeng di sini menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Beberapa siri penerangan yang dianjurkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) dan kerajaan negeri Pahang di sekitar Kuantan baru-baru ini tidak memberi kesan positif. - BERNAMA