Kuala Lumpur: Tindakan membangkitkan semula isu kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu didakwa ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan rancangan mengkristiankan Malaysia.

Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali (gambar) yang juga bekas Naib Presiden PAS, berkata walaupun dinafikan, isu kalimah Allah yang dimainkan semula DAP membayangkan wujud agenda Kristian dalam barisan kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.
Katanya, agenda itu boleh dikaitkan dengan agenda besar ke arah membentuk negara Kristian seperti yang pernah didedahkan sebelum ini dan menimbulkan polemik awam termasuk dibincang di Parlimen.

Amat dikhuatiri jika usaha ini tidak dilakukan, masyarakat Islam akan menganggap PAS sudah terpalit dengan agenda Kristian DAP," Hasan Ali, Presiden JATI


“Isu ini ditimbulkan semula DAP menjelang PRU-13 dan ramai membuat andaian kalimah Allah akan ditonjol semula dan mungkin akan dijadikan sebahagian daripada kempen pilihan raya khususnya untuk mendapat sokongan pengundi bukan Islam di negara ini.

Isu pilihan

“Bagi DAP, isu seperti ini sememangnya menjadi isu pilihan dan begitu popular bagi parti cauvinis dan rasis seperti DAP,” katanya pada sidang media di pejabat JATI di sini, semalam.
Hasan berkata, PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam seharusnya tampil mengingatkan ahli dan penyokongnya mengenai pandangan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din yang menjelaskan dalam keadaan apa sekalipun, kalimah Allah tidak boleh digunakan penganut agama lain.

Katanya, Haron menyatakan sesiapa yang cuba menyokong dan bersetuju untuk membenarkan penggunaan kalimah itu selain khusus untuk Islam boleh menyebabkan kekufuran dan syirik.

“Seperti yang diketahui ada beberapa pimpinan parasit dalam PAS yang menyanggah pandangan Timbalan Mursyidul Am dan menganggap pandangan itu hanya pandangan peribadi.

“Amat dikhuatiri jika usaha ini tidak dilakukan, masyarakat Islam akan menganggap PAS sudah terpalit dengan agenda Kristian DAP,” katanya.