Proses pengebumian jenazah tertangguh ekoran ketiadaan bekalan air mencukupi untuk memandikan jenazah di Tumpat, semalam. - Foto Rohaiza Ab Rahman=
Tumpat: Masalah air di Kelantan semakin meruncing apabila urusan pengebumian seorang warga tua dari Kampung Simpangan, di sini kelmarin, terganggu selepas tiada air untuk memandikan jenazah.
Cucu arwah, Mahadi Mokhtar, 47, kesal kerana pihak bertanggung jawab, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) gagal menyediakan kemudahan sepatutnya kepada pengguna terutama pada waktu kecemasan seperti itu, malah masalah bekalan air sudah dihadapi penduduk sejak awal puasa.
Terpaksa tangguh kebumi
“Saya tak sangka keadaan jadi lebih teruk apabila tidak dapat menyegerakan urusan memandikan jenazah nenek. Sepatutnya urusan pengebumian dilakukan sebelum Zuhur sebaik jenazah dibawa pulang ke rumah kira-kira jam 7 pagi, namun disebabkan tiada air ketika itu, ia terpaksa ditangguhkan.
“Seorang saudara kami akhirnya menghubungi AKSB supaya menghantar bekalan air ke rumah dan selepas hampir empat jam menunggu, barulah jenazah dapat dimandikan jam 11.30 pagi selepas AKSB menghantar bekalan air menerusi sebuah lori tangki,” katanya.
Kecewa khidmat AKSB
Beliau yang lega selepas jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bendang Pak Yong, dekat sini, kira-kira jam 3.30 petang, kecewa dengan perkhidmatan disediakan AKSB sehingga menyusahkan penduduk melakukan pelbagai urusan termasuk memandikan jenazah.
“AKSB seharusnya sudah lama mengatasi isu bekalan air ini. Sepatutnya pada Ramadan ini, pengurusan syarikat itu harus peka dengan keperluan pengguna terutama dalam membuat persiapan berbuka puasa,” katanya.