JAIS tubuh badan khas pantau aktiviti masjid
Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menubuhkan badan khas bagi memantau sebarang tindakan menjadikan masjid dan surau sebagai medan politik.
Pengarahnya, Datuk Marzuki Hussin, berkata badan itu dibentuk di bawah bahagian penguatkuasaan yang dipengerusikan Timbalannya, Mohd Shahzihan Ahmad yang akan turut bekerjasama dengan semua unit penguatkuasaan masjid dan surau di setiap daerah.
“Andai ada pihak menyampaikan ceramah politik di masjid, kita boleh menahan dan mendakwa mereka jika punya bukti kukuh,” katanya sambil menambah sejak awal tahun ini, belum ada penahanan membabitkan individu tidak bertauliah menyampaikan ceramah.
Kelmarin, akhbar melaporkan beberapa masjid dan surau di Selangor didakwa disalahgunakan pemimpin PAS sepanjang Ramadan untuk berkempen sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.