JPJ perluas khidmat di cawangan elak kesesakan di Kompleks Shah Alam BH Online

JPJ perluas khidmat di cawangan elak kesesakan di Kompleks Shah Alam

2011/09/29

JABATAN Pengangkutan Jalan Negeri Selangor ingin merujuk kepada tajuk laporan rencana disiarkan Isnin 26 September dalam Berita Harian. JPJ Selangor merakamkan ucapan terima kasih kerana memberi maklum balas berkaitan kesulitan pelanggan ketika berurusan di Pejabat JPJ Selangor. Jabatan ini memohon maaf di atas kesulitan yang di utarakan. Pihak kami sentiasa memberi perhatian dalam usaha meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kepada pelanggan yang berurusan di Kompleks JPJ Selangor Shah Alam.

Untuk makluman, kawasan Kompleks JPJ Selangor Shah Alam mempunyai keluasan yang agak terhad untuk menyediakan ruang meletak kenderaan kepada pelanggan. Kita hanya mampu menyediakan 110 lot tempat letak kenderaan kepada pelanggan. Namun, kesesakan ruang letak kenderaan sering kali berlaku terutama waktu puncak pada Isnin dan Jumaat.

Menyedari masalah ini, Pihak Jabatan memperluaskan semua aktiviti dan urus niaga JPJ seperti urusan pendaftaran kenderaan baru, tukar milik kenderaan, batal tuntutan hak milik kenderaan dan lain-lain lagi di semua lima cawangan JPJ iaitu di Petaling Jaya, Bangi, Banting, Sabak Bernam, Kuala Kubu Bharu. Sebelum ini pejabat JPJ cawangan hanya membuat urusan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan saja. Langkah ini dibuat bagi mengurangkan kesesakan pelanggan tertumpu di Kompleks JPJ Selangor Shah Alam saja.

JPJ juga telah memanjangkan waktu urusan kaunter iaitu seawal jam 7.30 sehingga jam 5.30 petang manakala ketika waktu rehat jam 1.00 hingga 2.00 petang, kaunter juga dibuka untuk urusan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.
Pelanggan juga boleh membuat urusan memperbaharui lesen memandu, cukai jalan serta bayar saman JPJ secara atas talian tanpa hadir ke Pejabat JPJ.

Merujuk kepada cadangan pelanggan agar JPJ membuka kaunter JPJ pada hari cuti Sabtu dan Ahad, sebenarnya JPJ sudah membuka Kaunter Online 1JPJ pada setiap Ahad bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang di Kompleks PKNS Shah Alam dan PKNS Bandar Baru Bangi bermula Julai 2011. Di samping itu, kaunter Online 1JPJ juga turut dibuka di Pasar Tani Mega di Stadium Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 2 petang setiap Ahad bermula April 2011 yang lalu. Selain itu kemudahan JPJ juga boleh dibuat di Pejabat Pos.

Pelanggan yang menghadapi sebarang kesulitan atau kemusykilan boleh melayari Laman Sesawang Jabatan Pengangkutan JPJ iaitu www.jpj.gov.my atau hubungi pejabat JPJ yang berhampiran untuk mendapat maklumat serta keterangan lanjut.

AHMAD AWANG,
Pegawai Perhubungan Awam,
JPJ Selangor.