JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) ingin menjelaskan isu berkaitan pemastautin sementara yang disiarkan ruangan ini pada 25 Januari lalu bertajuk ‘Cari kaedah atasi status pemastautin sementara’ oleh ‘Rakyat 1Malaysia’ dari Puchong, Selangor.

Untuk makluman penulis, pemegang status pemastautin sementara ialah mereka yang tidak dapat ditentukan status warga negaranya.
Ini berlaku kerana ketika pendaftaran kelahiran dibuat, status kewarganegaraan ibu bapa tidak dapat dikenal pasti kerana tidak memiliki dokumen pengenalan negara ini atau dokumen pengenalan negara asing.


Pemegang kad pengenalan pemastautin sementara boleh memohon untuk menukar taraf pemastautin sementara kepada taraf pemastautin tetap dengan syarat sudah dikeluarkan permit masuk oleh pihak Jabatan Imigresen.

Untuk mendapatkan permit masuk pemohon dinasihatkan merujuk ke Jabatan Imigresen bagi mendapatkan prosedur dan syarat berkaitan pengeluaran permit masuk berdasarkan perundangan sedia ada kerana pengeluaran permit masuk adalah mengikut bidang kuasa Jabatan Imigresen.

Manakala untuk tujuan permohonan status kewarganegaraan Malaysia pula, ingin dijelaskan bahawa tiada sebarang peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan pemegang status pemastautin sementara untuk memohon status kewarganegaraan.

JAINISAH MOHD NOOR, Pegawai Perhubungan
Awam JPN.